Rabu, 14 November 2012

Pilihan Raya Presiden AS: Demokrasi Yang Cacat dan Berkurap

Obama sentiasa memberikan masa untuk keluarga menyebabkan ia diterima baik oleh pengundi wanita.

Keputusan penuh pilihan raya Presiden Amerika Syarikat yang ke-45 telah sah berpihak kepada Barrack Obama setelah diisytiharkan menang dengan 332 undi kolej pemilih berbanding Mitt Romney yang mampu meraih 206. Meskipun keputusan yang diumumkan pada malam pengundian itu (6 November 2012), Obama menang dengan 303 undi kolej pemilih sudah berjaya menguasai semula kepresidenan Rumah Putih untuk tempoh empat tahun lagi, keputusan undian di Florida tertangguh kerana terpaksa dikira semula sehinggalah diumumkan lima hari selepas itu dengan keputusan berpihak kepada lelaki kulit hitam keturunan Afrika-Amerika itu.
Kemenangan Obama disambut penuh kegembiraan oleh peny0kong-penyokong Parti Demokrat manakala penyokong-penyokong Parti Republikan mengatakan kemenangan tersebut bakal menjerumuskan Amerika Syarikat dalam kancah malapetakan ekonomi dan dasar luar yang lebih parah untuk tempoh empat tahun akan datang.
Dasar ekonomi yang digariskan oleh Obama tidak cukup kuat untuk melepaskan AS dari kemelesetan ekonomi yang diwariskannya dari dasar Presiden Goerge Walker Bush. Maknanya, Obama mewarisi situasi ekonomi dan dasar luar yang buruk dari Parti Republikan yang lebih mementingkan golongan atasan dan elit.
Ketika mengambil alih Rumah Putih pada tahun 2000, Bush sebenarnya mewarisi keadaan ekonomi dan politik yang lebih baik dari Bill Clinton yang mewakili Parti Demokrat, dan kerana itulah kehadiran dan sokongan Bill Clinton turut membantu kemenangan Obama untuk penggal kedua.
Berbanding dengan kemenangan George Walker Bush, hanya menang semata-mata daripada kolej pemilihan pada tahun 2000, Obama sebenarnya turut memperoleh undi popular walaupun sebelumnya beberapa tinjauan pendapat meramalkan perbezaan undi adalah terlalu kecil, iaitu antara 2 hingga 5 peratus sahaja. Jangkaan ini sebenarnya boleh dikatakan tepat kerana Obama memperoleh undi popular sebanyak 61.17 juta berbanding Romney, 58.163 juta sebelum diambil kira keputusan undi di Florida. Di Florida, Obama mendapat kelebihan undi sebanyak 74,000 dan ini bermakna Demokrat menguasai 51 peratus undi popular manakala Republikan sekitar 48.5 peratus. Seperti ramalannya, perbezaan undi popular adalah 2.5 peratus. Kedudukan ramalan sebelum hari mengundi ialah 48 peratus Obama dan 47 peratus Romney.
Bagaimanapun, oleh kerana sistem penentuan kemenangan bukan atas dasar undi popular, ia ditentukan oleh kemenangan ke atas kolej pemilih, maka dapatlah dirumuskan bahawa sistem demokrasi AS yang diasaskan sejak 200 tahun lalu itu adalah sesuatu yang mempunyai banyak kecacatannya.
Dalam sistem kolej pemilih, ia mewakili kesemua 50 buah negeri di AS dan Washington DC mempunyai 583 kerusi. Sistem ini dilihat amat tidak adil kerana undi popular tidak diambil kira sebagai faktor kemenangan sebagaimana pernah dihadapi oleh Al-Gore (Parti Demokrat) yang kalah kepada George Walker Bush (Parti Republikan) pada tahun 2000 hanya atas kemenangan kolej pemilih.
Turut mewarnai kepincangan dalam kaedah pilihan raya AS ialah penentuan kecenderungan sesebuah negeri dalam kolej pemilih apabila 41 daripada 50 sudah dikenalpasti lebih awal sama ada berpihak kepada Demokrat ataupun Republikan. Disebabkan oleh kecenderungan awal itulah juga, maka sepanjang tempoh kempen kedua-dua parti atau calon hanya memberikan tumpuan kepada sembilan buah negeri yang dianggap sebagai “swing state” atau “battleground states”.
Akibatnya, negeri-negeri yang mempunyai kecenderungan kuat kepada Demokrat atau Republikan sudah diramalkan terlebih dahulu kedudukannya sehingga menyebabkan negeri-negeri tersebut bukan lagi menjadi medan kempen yang besar. Contohnya, California dikatakan sebagai kubu kuat Demokrat manakala Texas sebagai kubu kuat Republikan.
Kelemahan juga dapat diperhatikan bahawa sistem politik di AS sebenarnya tidak bebas sepenuhnya daripada pengaruh perkauman apabila keputusan jelas menunjukkan bahawa Mitt Romney mendapat sokongan lebih dua pertiga pengundi berkulit putih. Berdasarkan analisis kemenangan Obama, kejayaan mempertahankan kepresidenan untuk penggal kedua adalah bergantung sepenuhnya sokongan lebih besar daripada pengundi keturunan Afrika-Amerika, Asia-Amerika dan hispanik.
Majoriti pengundi beragama Islam cenderung mengundi Obama berbanding Romney yang dilihat berfikiran “melampau” termasuk dokongan yang begitu ketara ke atas Israel. Bahkan, sokongan dan harapan besar Israel untuk kemenangan Mitt Romney menakutkan pengundi Islam dan keturunan Asia-Amerika. Pengundi kulit hitam, hispanik dan bukan kulit putih walaupun hanya merupakan 28 peratus daripada keseluruhan pengundi yang layak, telah membantu kemenangan Obama untuk kali kedua.
Kemenangan Obama pada tahun 2008 juga turut dipengaruhi oleh faktor perkauman, dan kerana itulah sepanjang kempen Obama terpaksa memberikan penjelasan bahawa namanya tidak mempunyai kaitan dengan Islam, walaupun ibu bapanya adalah beragama Islam.
Lebih menarik ialah kaedah pentadbiran dan pengurusan pilihan raya yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihak berkuasa tempatan atau negeri. Hasilnya, meskipun setiap negeri melaksanakan kaedah yang berbeza, hasil keputusannya dapat diketahui dengan lebih cepat kecualilah keputusan di Florida yang terpaksa dilakukan secara manual.
Kaedah agihan kuasa yang dilaksanakan itu membolehkan setiap negeri pengalaman yang baik dan berkesan, terutama dalam usaha untuk memperbaiki sistem pengiraan undi kerana tidak terlalu bergantung kepada badan persekutuan. Hasilnya, negeri-negeri dapat melakukan pelbagai pembaharuan sistem pengundian sehinggalah semakin banyak negeri sudah menggunakan proses pengundian secara elektronik.
Disebabkan sistem pentadbiran negeri-negeri AS banyak bergantung kepada “keputusan awam”, pengurusan pengundian ini membantu negeri-negeri dalam menentukan keputusan sesuatu dasar. Setiap mereka berhadapan dengan isu-isu besar yang serius, penduduk sesebuah negeri diberikan peluang untuk membuat keputusan menerusi pungutan suara atau pengundian.
Ketika berlangsungnya pilihan raya presiden, pengundi di Maine mengundi bagi meluluskan undang-undang membenarkan perkahwinan sejenis manakala di Maryland dan Washington, pengundi membuat keputusan bagi membenarkan penggunaan marijuana (ganja) untuk tujuan perubatan.
Dalam sistem demokrasi AS, para pengundi boleh membuat permohonan untuk mengundi beberapa hari lebih awal daripada tarikh sebenar pilihan raya. Dalam pemilihan kali ini, hampir 40 peratus daripada jumlah pengundi seramai 180 juta dibenarkan melakukan pengundian lebih awal dan jumlah ini meningkat dari tahun 2008, iaitu dari 35 peratus.
Ada juga negeri yang membenarkan pengundi mengundi lebih awal, 35 hari sebelum hari pengundian sebenarnya. Undi mereka tetap dikira sah. Ini dapat dilakukan kerana sistem pemilihan presiden di AS berlangsung dalam tempoh yang lama, yakni dua atau tiga bulan sebelum tarikh pilihan raya. Seseorang calon yang dipilih mewakili parti telah diketahui lebih awal, kerana seseorang calon itu perlu memperoleh sokongan padu daripada parti yang diwakilinya. Sebelum itu, seseorang calon perlu bertanding sesama sendiri untuk menempatkan kedudukannya sebagai calon pilihan.
Lebih menarik lagi ialah kaedah berkempen yang dilaksanakan oleh calon-calon yang bertanding juga memerlukan perbelanjaan yang besar. Bagi memenuhi keperluan kempen, parti-parti yang bertanding dibenarkan mengumpul dana dan mengisytiharkan pungutan tersebut untuk pengetahuan umum. Bagaimanapun, ada entity tertentu yang tidak diwajibkan mengisytiharkan pungutan dana dan dihadkan jumlahnya.
Keseluruhan jumlah kempen pemilihan presiden 2012 ditaksirkan menjangkau USD $6 bilion (RM 19 bilion), iaitu meningkat USD$500 juta (RM 1.6 bilion) dari tahun 2008. Berdasarkan pungutan dana, kem Obama mendapat USD$ 2.188 bilion manakala kem Romney berjumlah USD$2.956 bilion. Pasukan kempen Obama yang mengendalikan SuperPac berjaya memungut USD$445 juta iaitu separuh daripada SuperPac Romney berjumlah USD$970 juta.
Dana kempen Obama disumbangkan oleh penderma individu (USD$631.7 juta), Senat (USD$743 juta), jawatankuasa kempen (USD$553 juta), institusi atau organisasi (USD$180.1  juta) manakala sumber dana Romney diperoleh dari penyumbang individu (USD$384.9  juta), jawatankuasa kempen (USD$360 juta), Dewan Perwakilan (USD$1.1  bilion) dan Dana Awam (USD$142  juta). Kempen pemilihan presiden kali ini dianggap yang termahal dalam sejarah politik AS, dan dianggarkan purat perbelanjaan setiap orang pengundi ialah sekitar USD$50.
Bagi menguruskan kempen pada tahun 2008, Obama dikatakan terpaksa berbelanja lebih USD$1 bilion dan antara penyumbang terbesar ialah:
Lima penyumbang terbesar kempen Obama 2012 ialah Universiti California (USD$927,568), Microsoft (USD$680,769), Google Inc. (USD$661,996), Universiti Harvard (USD$535,405) dan kerajaan AS (USD$528,603). Lima penyumbang terbesar dana kempen Romney ialah Goldman Sachs (USD$965,140), Bank of America (USD$844,734), Morgan Stanley (USD$768,216), JP Morgan Chase & Co (USD$749,918) dan Credit Suisse Group (USD$588,841).
Firma JP Morgan Chase & Co yang pernah menyumbang kepada dana kempen Obama pada tahun 2008, tidak lagi menyumbang pada tahun 2012 kerana melihat dasar yang dilaksanakan sebelum ini tidak memberikan dokongan yang kuat kepada kepentingan Yahudi. Firma tersebut berpindah ke kem Romney kerana melihat dasar Romney ke atas kepentingan Israel adalah lebih meyakinkan.
Dasar ekonomi yang dibentang oleh Romney sebenarnya mampu memberikan kelegaan kepada kumpulan kaya dan golongan kapitalis berbanding Obama yang memberikan perhatian lebih besar kepada kelompok bawahan dengan berusaha mengenakan cukai lebih tinggi ke atas mereka yang berpendapatan tinggi bagi menampung keperluan golongan pertengahan dan rendah mendapat kemudahan insuran kesihatan. Inilah sebenarnya kekuatan yang diperoleh Obama dalam keputusan pilihan raya presiden ke-45 pada 6 November 2012 itu.
Perbezaan juga jelas bahawa pengundi wanita lebih menyukai Obama berbanding Romney kerana penampilannya yang lebih bersifat menyayangi keluarga. Romney tidak dilihat mempunyai ikatan kekeluargaan yang lebih kuat apabila isterinya, Anne Romney tidak mampu meraih emosi ketika menceritakan kehidupan bahagia mereka di hadapan pengundi semasa berkempen. Michelle Obama mampu memberikan daya tarikan emosi sehingga suaminya meraih sokongan 55 peratus wanita sedangkan Romney hanya mampu meraih 44 peratus.
 Dari segi umur juga membuktikan Obama lebih disenangi oleh pengundi muda, iaitu berumur di bawah 45 tahun. Romney hanya berupaya mendapat sokongan daripada pengundi yang berumur lebih 45 tahun. Ini menunjukkan Romney tidak begitu berjaya mempengaruhi kelompok undi golongan muda AS yang sedang berhadapan dengan peluang pekerjaan yang berkurangan dan kadar pengangguran pada tahap 7.9 peratus. Obama tetap berjaya memenangi hati pengundi muda dan merupakan calon presiden pertama yang mampu mempertahankan kedudukan walaupun jumlah penganggur adalah tinggi. Pengundi lebih mempercayai apa yang sedang dilakukan oleh Obama kerana imej parti Republikan yang menghancurkan sistem ekonomi masih besar apabila Romney melakukan kesilapan matematik dalam satu kempennya sehari sebelum data rasmi jumlah pekerjaan bagi tempoh September dan Oktober 2012 dikeluarkan secara rasmi. Kesilapan itu telah membunuh keyakinan sebahagian besar pengundi terhadap Romney.
Berbanding dengan kemenangan Obama pada tahun 2008, pengundi berumur 45 hingga 64 tahun boleh dikatakan seimbang dan Obama berupaya menarik sokongan pengundi berumur 18 hingga 29 tahun sebanyak 60 peratus. Pengundi muda tetap kecali bersama Obama kerana mereka yakin, Obama mampu melakukan yang terbaik untuk AS.
Keputusan itu mungkin dapat dipelajari oleh pengundi Malaysia kerana selewat-lewatnya akhir April 2013, pilihan raya umum akan diadakan. Para pengundi akan lebih berani menyatakan keputusan sebenar mereka dalam PRU 13 kerana dalam PRU 12 mereka hanya lebih terpengaruh dengan pendekatan popular, enak didengar dan sukar dilaksanakan sehingga menyebabkan parti-parti pembangkang kian hilang auranya.
Pergelutan dalaman dalam pakatan pembangkang akibat “manifesto” yang gagal dilaksanakan, pendekatan kempen bersifat retorik dan tidak memperlihatkan nilai kebebasan sebenar bakal menjerat mereka ke kancah kekalahan yang teruk. Itulah yang dapat dipelajari daripada gaya berkempen Mitt Romney yang ada banyak persamaan dengan apa yang dilakukan oleh pakatan pembangkang, semua yang dilakukan oleh kerajaan adalah salah dan tidak betul, sedangkan rakyat merasai sentuhan itu sebagai suatu usaha membantu meredakan banyak kesukaran.
Pakatan pembangkang hanya sekadar menabur janji, menambahkan politik dalam keraguan dan sanggup menutupi kelemahannya dan kesilapan dengan menyalahkan parti-parti politik yang sudah lebih 55 tahun berkhidmat untuk rakyat dan membangunkan negara.
Seperti juga rakyat AS tidak boleh menerima Romney sebagai presiden ke-45 mereka, begitu juga dengan sebahagian besar pengundi Malaysia tidak boleh menerima pakatan pembangkang kerana pemimpin-pemimpin mereka semakin bercelaru, tidak mempunyai ideologi yang sama dan diterima bersama, saling bercakaran atas masalah prinsip walaupun berjaya disembunyikan, ia bakal menjelma sebagai “bom masa” dan akhirnya meletup.
Ketika itulah rakyat menjadi taruhan, sedangkan mereka masing-masing berusaha melepaskan diri tanpa menunjukkan tanggungjawab sebenar, kerana tetap berkata: Kami berjuang atas kebenaran, walhal kebenaran itu terus berada dalam kekaburan tindakan dan matlamat.
Yang mereka utamakan ialah kuasa, kerana itulah mereka sanggup memperjudikan segalanya termasuk agama, bangsa dan negara. Jika tidak, kenapa menagih bantuan asing dan mempersendakan kepimpinan negara bila berada di luar negara? Kenapa tidak sanggup memohon maaf bila tersilap kata: Orang Melayu tidak wajar disekat kebebasan memilih agama?
Bagaimana pakatan pembangkang telah menghina orang Melayu secara halus di Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah (doktrin asabiyah dan apartheid ke atas istilah bumiputera dan orang Melayu), memindahkan aset-aset yang dibina khusus untuk kelompok peniaga bumiputera kepada swasta seperti sedang dilakukan oleh PKR di Selangor? Bukankah ini merupakan satu kaedah politik yang cacat dan mencipta kecelaruan rakyat untuk terus menentang statusquo sedangkan ia tidak pernah berlaku dalam perjuangan politik bukan Melayu.
Bahkan, politik AS tidak mampu membendung fahaman perkauman kerana demokrasi hanyalah tunggangan yang digunakan untuk memperoleh kuasa. Maka, demokrasi jugalah yang akan membunuh kebebasan seseorang untuk membuat pilihan berdasarkan kehendak hati dan keyakinannya, kerana mereka sebenarnya dilabelkan sebelum tiba masa memilih. Mereka sebenarnya sudah bias, seperti biasnya sistem penentuan kemenangan berdasarkan kolej pemilih yang diamalkan di AS.
Kalau inilah yang mahu diaplikasikan di Malaysia, maknanya, masih banyak perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, termasuk penyingkiran persepsi buruk terhadap institusi pemerintahan, undang-undang dan dwistandard setiap kali membuat penilaian atau keputusan.
Jangan hanya menganggap, jika keputusannya berpihak kepada A maka ia adalah tidak adil. Ia akan adil bila keputusan itu berpihak kepada B walaupun menggunakan undang-undang dan proses yang sama sedangkan keadilan itu ialah mengembalikan hak kepada golongan yang sepatutnya mendapat hak itu setelah hak itu dicabar atau dinodai oleh pihak lain.
Rakyat AS kembali menerima keputusan sebaik sahaja diumumkan. Mereka tidak mempersoalkan keputusan itu kerana ia adalah sistem yang mereka percaya. Manakala pemimpin pembangkang di Malaysia terus mempersoalkan kekalahan yang dialaminya tetapi dalam masa yang sama menerima kemenangan yang berpihak kepadanya. Itulah ironinya politik Malaysia sehingga keputusan pilihan raya 2008 masih dipersoalkan, meskipun BN menang secara majoriti dan pakatan pembangkang terus menerus berusaha mengheret rakyat untuk merasakan bahawa setiap hari adalah hari pilihan raya. Itulah sikap buruk yang perlu ditolak, kerana ia menyebabkan berlakunya politicking dan perpecahan dalam masyarakat walhal matlamat berpolitik itu ialah kesepaduan dan kemuafakatan.
Kalah dalam pertandingan tidak bermakna mengetepikan atau bermusuhan, keringat dan kesepakatan perlu ada kerana proses pembangunan itu bukanlah untuk dinikmati oleh satu kelompok tertentu sahaja. Ia adalah pemerataan nikmat dan yang kalah tidak wajar mensabotajkan atas alasan apa pun selagi tidak memudaratkan kehidupan bersosial, agama dan pelanggaran kebebasan peribadi. Itulah yang sedang dirintis oleh Obama, mengajak Romney kembali bersatu untuk mengatasi kemelesetan ekonomi dan memulihkan imej AS di peringkat antarabangsa.
AS tetap mahukan kedudukannya sebagai hegemoni ekonomi dan politik, maka siapapun calon presiden yang menang akan tetap mendokongi Israel kerana penyumbang dana kempen hampir keseluruhannya adalah kapitalis Yahudi. Demokrasi AS tetap mempunyai kecacatan dan semakin banyak kurap yang timbul kerana politiknya tidak bebas sepenuhnya daripada perkauman.
Wallahhu'alam.

Penulis,
Tamingsari

Tiada ulasan:

Recent Posts Widget

Tag

PAS Sesat (152) Anwar Al Juburi (91) Isu Semasa (77) Kelantan (69) PKR Reput (60) DAP Laknattullah (56) Pakatan Rakyat (54) Sukan (45) ilmu (45) DS Najib (31) Umno (31) Antarabangsa (28) BN (28) Galas (26) Nik Ajis (26) Selangor (26) Dasar Kerajaan (25) Ekonomi (25) P.Pinang (20) Seni Kreatif (20) Bersih 2.0 (19) Kematian (19) Jenayah (16) PRK DUN Tenang (16) Blogger Songsang (14) Ex-PKR (14) Pengkhianat (14) Tragedi Lahad Datu (14) Blogger Berjuang (13) Pendapat (13) Tun Mahadhir (12) Bajet 2011 (11) Penjawat Awam (10) Batu Sapi (9) Islam (9) Media Pembangkang (9) Banjir2014 (8) Korup@UMNO (8) Mahkamah (8) K.Lumpur (7) Kedah (7) Media Perdana (7) BTN (6) NajibMO1 (6) PDRM (6) PRU 13 (6) Rasis (6) bah2014 (6) Parlimen (5) Perak (5) Bencana (4) Demo 901 (4) Ketuanan Melayu (4) Mahasiwa (4) PRK DUN Merlimau (4) QZ8501 (4) SPR (4) Johor (3) Melaka (3) PRK DUN Kerdau (3) Perlembagaan (3) Tun Abdullah (3) AES (2) AFF SUzuki 2014 (2) AirAsia (2) BN@Beban Negara (2) Cina (2) Demo 311213 (2) Hudud (2) Kesultanan Melayu (2) MCA (2) Menteri BN Bodoh (2) PAP Laknattullah (2) Perkasa (2) Polis (2) Sabah (2) Ulama (2) Video Seks Anwar (2) prayforQZ8501 (2) #prayforQZ8501 (1) APCO (1) DYMM Agong (1) Dunia (1) IsraelvsGaza (1) Kafir Laknattullah (1) Kampus (1) Kartunis Celaka (1) Kemalangan Ngeri (1) Liwat 2.0 (1) MH17 (1) MH370 (1) MIC (1) Militan IS (1) Moral (1) Mustapa Mohamed (1) N.Sembilan (1) PAU 2016 (1) Pahang (1) Pendidikan (1) Perlis (1) PrayforGaza (1) RM-Dollar (1) Rosmah Perosak (1) Sarawak (1) Sayang Malaysia (1) Sejarah (1) Suruhanjaya Antara Agama (1) Tidakpadaonani (1) Tun Hussein Onn (1) Twitter (1) Wira (1) kesihatan (1) najibrazak (1)

Terkini di Blog Chedet (Tun Dr. Mahathir Mohamed)

Terkini Di Ceciter Seram

malaysia flag photo: Malaysia thmalaysia.gif