Rabu, 6 Mac 2013

PAS Akan Mampus Sebelum Dimampuskan!


Sudah lima tahun PAS berkawan dengan DAP tapi belum seorang pun pemimpin DAP mampu memahami Islam dengan baik. Ada ketikanya, pemimpin DAP terus mempersoalkan kekhususan istilah suci Islam sehingga melontarkan kemarahan seluruh umat Islam di Malaysia kecualilah ulamak-ulamak PAS yang sedang mempersiapkan diri untuk berkuasa. Ketika Husam Musa terjerat dengan debat dengan Khairy Jamaludin mengenai soalan cepumas tentang pelaksanaan undang-undang Islam, Karpal Singh terus menegaskan beliau akan pertahankan statusquo negara dengan tidak merelakan berlaku sebarang perubahan undang-undang Islam.

Ketika debat hukum hudud pada tahun 1995, yakni tatkala PAS yang terjerat dengan realisasi manifesto politiknya melaksanakan peraturan itu sekurang-kurangnya di Kelantan, Karpal Singh memberikan ketegasannya, PAS perlu langkah mayatnya terlebih sedangkan ahli politik veteran itu belum mati. Maknanya, selagi Karpal Singh masih bernafas, PAS tidak akan melaksanakan hukum hudud mahupun mengislamkan DAP. Tahun lalu, ketika Majlis Perbandaran Kota Bahru menyaman pemilik kedai gunting rambut uniseks yang melayan pelanggan lelaki, PAS begitu teruk dibelasah oleh DAP kerana peraturan itu dianggap bertentangan dengan undang-undang sekular atau sivil. Setelah berlaku ketegangan dan kecaman, akhirnya MPKB membatalkan saman tersebut kerana tidak tahan dengan desakan politik dari bukan Melayu yang menganggap peraturan PAS itu tidak memberikan keadilan kepada semua orang. 

Hukum hudud dikritik bukan kerana ia tidak el0k, tetapi kerana kerajaan PAS yang berusaha menggubalnya tidak melakukan penerangan secara bersungguh-sungguh. Bahkan, lebih sembilan puluh peratus rakyat Kelantan belum faham. Rakyat Kelantan juga tidak bersedia menerima hukum itu kerana ia menghina umat Islam sendiri walaupun kesalahan yang sama dilakukan bukan Islam, hukumannya adalah berbeza. Kegagalan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan ada kaitan dengan kesungguhan PAS sendiri, kerana sejak undang-undang tersebut diluluskan, mekanisme dan prasana yang lengkap ataupun memadai tidak pernah diusahakan pemenuhannya. Misalnya, PAS tidak melatih siapakah para peguam yang akan menterjemahkan hukum hudud itu, walhal yang bakal mengendalikan proses menghukum itu adalah para peguam dan hakim. 

Persediaan untuk memberikan nasihat perundangan syariahalam konteks hukum hudud tidak pernah dibincangkan secara serius oleh pemimpin PAS, bahkan ketika isu ini kembali dibangkitkan setahun lalu, hanyalah diberitahu satu mekanisme teknikal telah dibentuk. Setelah lebih setahun, mekanisme yang mengkaji kaedah pelaksanaan hukum hudud tidak mengeluarkan sebarang kemajuan, maka tepatlah seperti kata seorang pak cik yang sudah lama menanti Tok Guru jadi hakim untuk memutuskan kes anak muda Kelantan berzina dengan wanita muda di Golok atau pun Tak Bai. Ramai juga pak cik dan mak cik nak tahu kisah ke manakah perginya anak-anak muda pada hujung minggu dan balik semula ke kampung keesokannya, terutama bila hujung bulan. 

Jika boleh laksanakan hukum hudud, pak cik dan mak cik agak sedap hati juga kerana kes rogol memang sesuatu yang amat menakutkan anak-anak gadis di Kelantan ketika ini. Pesara atau pun warga emas yang tinggal keseorangan di kampung-kampung pastinya rasa lega kalaulah PAS benar-benar boleh laksanakan hukum hudud, kerana mereka sekarang menjadi terlalu takut ramai sangat pencuri, “Tak leh lepa? Keghusi (kerusi) plastik pun kena cughi (curi). Mesin basuh doh tengah basuh pun kena cughi. Nak bangun ambil air semaye (sembahyang) subuh pun takut. Mano (mana) mak cik ada paip, sokmo kening (sejak dahulu lagi) pakai air telaga. Paip ada, airnya jadi angin.” 

Bukan itu sahaja yang ditakutkan oleh warga emas yang tinggal keseorangan di kampung kerana anak-anak sudah berhijrah ke lain negeri kerana Kelantan tidak dapat menyediakan pekerjaan yang mencukupi sedangkan semakin lama semakin ramai mereka yang lulus universiti. Yang bersekolah setakat SPM pun ramai, tapi mereka tidak nak petani dan nelayan. Lebih suka makan gaji walaupun kerja kilang di Kulim, Kedah; Pulau Pinang; Johor ataupun Selangor. Kuala Lumpur memang ramai anak-anak Kelantan yang merantau, kalau tidak percaya pergilah ke mana-mana pasar malam, mesti ada antara mereka yang menjual baju atau kasut bundle, seluar berjenama tiruan, buah-buahan seperti dokong. Bahkan, kalau nak makan nasi kerabu atau nasi dagang, setiap hari pun boleh asal kita tahu jadual pasar malam kawasan berhampiran. 

Soalnya, sekarang apabila PAS begitu beriya-iya sangat berkawan dengan DAP, maka semakin banyaklah tembelang politik Nik Aziz dan Haji Hadi terbongkar. Kata seorang nelayan tua di Kuala Semerak (kualanya sudah lama terkambus, tapi nama itu tetap kekal), serupa dengan pokok ru, bila musim tengkujuh sampai, seluruh akar atau perdunya tercabut. Bukan kerana pokok itu tidak kuat, tetapi hempasan ombak lebih kuat. Nelayan itu ibaratkan PAS seperti pokok ru yang hidup subur di kawasan tanah berpasir. Pokok ru juga amat berguna kepada mereka yang sukakan keindahan pantai, sekurang-kurangnya boleh berteduh semasa berkelah. Pucuk ru boleh dijadikan penawar sekiranya terkena bisa ubun-ubun (atau apar-apar—jellyfish) dengan sedikit kapur sireh lalu diramas-ramas. Tempat yang terkena bisa dilumurkan dengan campuran daun ru dan kapur yang dilenyek. 

Sifat itu memang tepat, kerana nak mengharapkan orang lain memenuhi surau dan masjid, ia sesuatu amat sukar. Sekurang-kurangnya, balaisah (madrasah) menjadi sentiasa hidup dan ada sembahyang jemaah kerana ramai warga emas penyokong PAS yang setia berjemaah dan setiap dua malam ada tok guru atau ustaz mengajar. Masjid-masjid yang lain hanyalah penuh ketika bersembahyang Jumaat, kalau sembahyang jemaah lima waktu kadangkala tidak pun dapat separuh saf. Itu adalah pemandangan biasa, tetapi, tidak bermakna hanya orang PAS sahaja yang taat bersembahyang jemaah. 

Ramai juga anak muda penyokong PAS yang tidak sembahyang, kecualilah sembahyang Jumaat kerana takut orang kampung cari di rumah setelah lebih tiga minggu. Sekurang-kurangnya, ramai juga yang bertanya, mana Pok Li? Sakitkah? Atau ke Kuala Lumpur rumah anak-anak? Scenario itu masih kekal hingga sekarang, tetapi, yang tidak kekal sikap pemimpin PAS sendiri yang semakin caca-merba. Apa tidaknya? Nik Aziz yang baru balik dari Mekah mengerjakan umrah tiba-tiba melenting apabila diberitahu ramai juga penyokong PAS terima BR1M 2.0.

Dah buntu fikiran, kerana sebelumnya pernah kata: orang beri kita ambil, gula-gula pilihan raya dan merasuah pengundi. Tapi kali ini, lontaran emosi marahnya lebih hebat, orang yang member BR1M adalah sama dengan haiwan kerana berikan “hampas kelapa, padi dan jerami” kepada “lembu dan ayam.” Tidak cukup dengan penyakatan tersebut, tiga hari lalu (1 Mac 2013) Mursyidul Am PAS menganggap UMNO sebagai “menate”. Maknanya, dakwaan kerajaan UMNO yang menyediakan BR1M sebagai “haiwan” begitu jelas, sudah terang lagi bersuluh bila tuduh UMNO “menate”. 

Kalau zaman saya kanak-kanak dahulu, istilah “menate” bukanlah sesuatu yang menakutkan, ia adalah satu gelaran biasa kepada rakan-rakan sebaya yang sedikit nakal. Apabila saya cuba nak memahami maksud Mursyidul Am PAS itu, saya teringat semula dengan perkataan yang sama pernah beliau berikan kepada pemimpin-pemimpin UMNO ketika zaman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir kerana kuatnya sokongan kepada Anwar Ibrahim yang dipecat dari UMNO pada tahun 1998. Tujuannya adalah jelas, PAS mahu gunakan gelora politik UMNO itu bagi menarik seramai mungkin penyokong Anwar masuk atau memberikan simpati kepada PAS. 

Waktu itu, PAS dipimpin oleh Fadhil Noor yang sedang giat melancarkan kempen untuk melelong Putrajaya sekiranya PAS memerintah. Fadhil Noor begitu marahkan Tun Dr Mahathir kerana melihat PAS adalah satu-satunya parti yang memperdagangkan agama, walaupun ada tindakan yang dilakukan oleh pemimpin PAS tidak mencerminkan kehendak Islam. Misalnya, melontar tuduhan bahawa amanat Haji Hadi pada tahun 1981 mencetuskan permusuhan sesama Islam, halal darah orang UMNO dan bekerjasama dengan bukan Islam adalah kafir, sedangkan tidak ada PAS dalam Islam, manakala hubungan antara Islam dan bukan Islam sudah berjalan sejak permulaan Islam lagi. 

Bahkan, ketika membangunkan sistem pentadbiran kota Madinah, Nabi Muhammad SAW mengasaskan sebuah peraturan yang diterima oleh semua penduduk termasuk bukan Islam. Semasa kepimpinan Nabi Muhammad SAW, Islam terus subur dan bukan Islam yang bersama-sama menghidupkan Madinah menyumbang kepakaran masing-masing sehingga lahirlah konsep masyarakat madani yang pertama dalam sejarah peradaban manusia, sedangkan PAS yang menggelarkan Kelantan sebagai “Serambi Mekah” tidak boleh menerima kerjasama dengan bukan Islam. Itu hanyalah lakonan dan proganda PAS kerana realitinya, bukan Islam masih merupakan rakyat negeri Kelantan yang mempunyai hak asasi yang dijamin oleh undang-undang. Mereka berhak untuk mengamalkan agama masing-masing, dan boleh mencabar tanggungjawab wakil rakyat yang mewakili mereka. Tentunya, sebahagian wakil rakyat yang dimaksudkan ialah pemimpin PAS sendiri. 

Masyarakat Siam walaupun kumpulan minoriti, mereka ada hak kerana mereka juga warganegara, tetapi ramai pemimpin PAS merasa jijik untuk menemui mereka. Tapi, Nik Aziz tidak melihat bukan Islam itu sebagai musuhnya walaupun Haji Hadi “kafir” tetap memberikan bantuan termasuk meluluskan peruntukan membina patung Buddha. Misalnya, di Kg Gong Balai, Bacuk, Kelantan sehingga patung Buddha berdiri boleh dilihat dalam jarak lebih satu kilometer.

Maknanya, istilah kafir itu hanya terpakai untuk melabelkan kerjasama antara UMNO dan bukan Islam. Kerjasama PAS dengan DAP bukanlah haram kerana DAP bukan “kafir” walaupun lebih 85 peratus keahliannya adalah keturunan Cina. Benarlah kata Nik Aziz: “Kita berkawan dengan orang jahat boleh, tetapi kawan untuk nasihat, UMNO marah kepada PAS berkawan dengan DAP, (UMNO) kata DAP jahat, tetapi kenapa DAP jahat? Kamu (UMNO) jahat juga. Apabila DAP berkawan dengan PAS, insya-Allah PAS akan bagi tahu tentang Islam, syurga begini, neraka begini, dia nak dengar atau tidak mahu dengar, peduli apa, yang penting tujuan kita berkawan untuk baiki dia (DAP).”

Secara rasminya, dah lebih lima tahun PAS berkawan dengan DAP. Kesannya, PAS sudah semakin kekeringan keringat untuk menasihatkan DAP kerana DAP tetap tidak berganjak dengan keputusannya, tidak boleh terima peraturan Islam. Bolehlah PAS berbangga, sejak berkawan dengan DAP, tanpa segan silu pemimpin DAP boleh mengarahkan Nik Aziz atau Haji Hadi agar mencari kata sepakat untuk menghalalkan penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam. Dalam kes itu, Haji Hadi dan Nik Aziz sudahpun tersepit. Pendapat peribadinya telah disanggah dengan keputusan Majlis Syura Ulama, sedangkan Nik Aziz yang mempengerusikannya. Haji Hadi turut menjadi serba-salah kerana keputusan yang dibacakan oleh beliau dengan bersaksikan Anwar pada 8 Januari 2013 dijadikan keputusan dasar pakatan pembangkang. Keputusan yang bercanggah dengan yang dikeluarkan oleh ulama dalam PAS lebih seminggu kemudian. Karpal Singh mahukan Haji Hadi menggunakan kedudukannya sebagai Presiden PAS untuk mempengaruhi Majlis Syura Ulama agar meminda keputusan agar selari dengan kenyataan yang dibuat pada 8 Januari 2013. 

Anwar sudah mendedahkan segala-galannya, beliau sebenarnya tidak terlibat. Beliau hanya bersetuju setiap perkataan yang ditulis oleh Haji Hadi dan menerimanya sebagai pendirian pakatan pembangkang. Beliau tidak menambah atau mengurangkan apa yang Haji Hadi tulis. Kemelut itu memang besar implikasinya kepada PAS. Nik Aziz yang semakin risau dengan kesan buruk itu sedang berusaha mengambuskan kesilapan dengan berkata: Islam mari daripada Allah, mu (orang UMNO) duduk atas bumi ini bumi Allah, benyawa dengan udara Allah, minum air dengan hak Allah, mu makan beras hak Allah Taala, menate.” Umur saya sekarang 56 tahun, saya belum pernah dengar ada orang UMNO menafikan bumi ini bukan datangnya dari Allah dan semua rezeki yang dinikmati oleh seluruh manusia bukannya “hak Allah Taala.” Tetapi, secara lojiknya, Nik Aziz sebenarnya lupa apabila mengatakan ..”mu (orang UMNO) duduk atas bumi ini bumi Allah” telunjuknya tetap berkait kepada dirinya sendiri yang sudah memasuki tahap takbur dan lupa kepada Allah.

Pengaruh syaitan memang amat besar di dalam hatinya, kerana seolah-olah PAS berada dalam dunia yang lain, dunia yang bukan sama dihuni oleh orang-orang UMNO. Pada suatu ketika, ramai yang meminta Nik Aziz bertaubat, beliau marah. Tapi, beberapa hari lalu ada yang mencadangkan agar Nik Aziz menjalani ujian psikiatari, maka diseranglah kononnya seorang mufti sebagai “orang mabuk yang bercakap dan tidak sedar diri”. Atas situasi itulah beliau menggelarkan mufti sebagai mufti, MasyaAllah betapa munafiknya Nik Aziz yang teramat sombong dengan kedudukan sendiri sehingga “masuk angin” nak menghukum orang lain sedangkan beliau bukanlah berhak menentukannya.

Seharusnya, Nik Aziz mampu berhujah dengan cara yang paling bernas kalaupun nak menolak pandangan Tan Sri Harussani. Sebaliknya, kata-kata Nik Aziz penuh dengan emosi sedangkan beliau tahu, orang yang bercakap dengan emosi dan beremosi adalah sudah terpana dengan tindakan iblis dan syaitan, yang akhirnya hanya nak menangkan diri sendiri. Seharusnya Nik Aziz boleh memberikan pedoman dan teladan yang baik, kerana beliau lebih memahami maksud al-Qur’an. Jika inilah yang dilakukan oleh beliau, tidak beremosi dan menggagaskan pandangan secara emosional, beliau akan lebih dihormati.

Seharusnya, beliau merenung semula maksud al-Qur’an, surah Shad: 82-83 :

Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau, aku menyesatkan mereka semuanya, kecualilah hamba-hamba-Mu yang mukhlis di antara mereka.” Lainnya, “Dan, demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin.” Al-An’am:112. 

Menurut Ibnul Qayyim menerusi kitabnya, al-Bada’iul Fawaaid, Jilid II: 
“sesungguhnya syaitan mengajak manusia kepada enam perkara. Ia baru melangkah kepada perkara kedua bila perkara pertama tidak berjaya dilakukannya. Enam perkara itu dilaksanakan dengan tujuh langkah, iaitu: 
a. Mengajak melakukan perbuatan syirik dan kekufuran. Jika hal ini berjaya dilakukannya bererti syaitan telah menang dan tidak sibuk lagi dengannya; 
b. Jika tidak berjaya, syaitan akan mengajaknya berbuat bidaah. Jika sudah terjerumus ke dalamnya, maka syaitan akan membuat bidaah itu indah di matanya sehingga dia rela dan syaitan pun membuatnya puas dengan bidaah itu; 
c. Jika tidak berjaya juga, syaitan akan menjerumuskannya ke dalam dosa-dosa besar; Jika tidak berjaya, syaitan akan menjerumuskannya ke dalam dosa-dosa kecil; 
d. Jika ternyata tidak berjaya juga, syaitan akan menyibukkannya dengan perkara-perkara mubah hingga ia lupa beribadah; 
e. Jika tidak berjaya juga, syaitan akan membuainya dengan perkara-perkara kurang penting hingga ia diabaikan perkara-perkara terpenting; 
f. Jika gagal juga, maka syaitan akan melakukan tipu daya terakhir, jarang orang yang selamat daripadanya hingga nabi dan rasul sekali pun. Iaitu mengerahkan bala tenteranya dari jenis manusia untuk menyerang orang-orang yang berpegang teguh dengan agamanya
(dipetik dari Muhammad Ramdhani Jerami, Bahaya Fitnah dan Hukum Menurut al-Qur’an dan Hadis, J. Bahru: Pustaka Azhar, 2008:6-7) 

Semoga kita dijauhi daripada perkara-perkara yang boleh membuatkan diri kita menjadi takbur, sombong dan angkuh. Kita menang sedar, manusia adalah hamba, tetapi tidak rela diperhambakan oleh seseorang yang hanya tahu berpolitik dan menggunakan kepandaian agamnya untuk memandirkan orang lain. Biarlah dia seorang sahaja yang menjadi Lebai Malang, kerana Nik Aziz memang tidak akan berganjak dengan kata-katanya, kerana beliau sudah lama “musang berbulu ayam” dan “terpalit tahi” meskipun “tidak pernah mencuri ayam.” 

Sampai bilapun DAP tidak akan menghormati prinsip politik PAS, kerana memangnya DAP berhasrat untuk menghancurkan PAS. PAS dan PKR tetap menjadi habuan politik DAP, dan kerana itulah DAP baling batu sembunyikan tangan. Kalimah Allah sudah menjadi bukti, PAS sebenarnya sudah tersalah memilih kawan, dirinya semakin dibinasakan oleh tangan-tangannya sendiri, bukannya UMNO atau BN, tetapi oleh bekas-bekas penyokongnya yang sudah tidak lagi percayakan Nik Aziz dan Haji Hadi. Ertinya, PAS sedang menguburkan dirinya sendiri kalaupun tidak bersedia untuk dikuburkan. 
Wallahhu'alam.

Penulis,
Tamingsari
Comments
0 Comments

Carian Artikel

Memuatkan ...
malaysia flag photo: Malaysia thmalaysia.gif

Senarai Artikel