Isnin, 23 Disember 2013

Kenapa Kau Cepat Lupa Pada Janji?

Beberapa hari kebelakangan ini, minda saya terus menerpa kembali ingatan tema kempen yang dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan atau lebih dikenali dengan singkatan ICU, Jabatan Perdana Menteri, tetapi digerakkan oleh Kumpulan Media Prima, Jelajah Janji Ditepati, atau ringkasnya JJD. Walaupun saya tidak mengikuti keseluruhan JJD yang diadakan di seluruh negara, saya sempat beberapa kali hadir dan setiap agensi kerajaan yang terbabit seboleh-bolehnya mempamerkan apakah kejayaan mereka, kejayaan yang boleh mencerminkan imej baik kerajaan secara keseluruhannya. 

Saya ucapkan tahniah kepada kakitangan awam yang bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab tersebut. Saya percaya kerana sumbangan itulah juga BN boleh mengekalkan kuasanya untuk sepenggal lagi, walaupun kedudukannya tidaklah lebih baik dari sebelumnya. Satu lagi ingatan jelas saya ialah mengenai “manifesto BN” ketika berusaha meyakinkan rakyat, khususnya pengundi bahawa parti itu akan tetap memperjuangkan rakyat, dan seterusnya tidak akan menyusahkan rakyat. Apabila membaca “Ingat semula akujanji”, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datu Seri Reezal Merican Naina Merican, BN telah berjanji secara jelasnya untuk mengurangkan tol secara berperingkat-peringkat, tetapi, seminggu lalu isu ini kembali panas apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan kalau tidak mahu bayar tol, sila ikut jalan lama. (Ingat semula akujanji, dan Kerajaan patut lebih prihatin, Sinar Harian, 19 Disember 2013). 

Oleh kerana saya tidak mengikuti dengan jelas apa puncanya, maka saya membuka semula akhbar-akhbar sepanjang dua minggu ini untuk mengetahui asasnya. Saya menjumpai, asasnya ada desas-desus bermula Januari 2014, kadar bayaran tol akan dinaikkan kerana kerajaan tidak lagi bersedia membayar ganti rugi kepada pemegang konsesi lebuh raya setelah tidak menyemaknya selepas tiga tahun. Akhirnya berdentumlah “perang” dan kedengaran pula jawapan sumbang daripada seorang menteri yang dilantik berdasarkan kecemerlangan dalam industri perbankan. 

Ramai yang melihat cara menteri terbabit menjawab adalah sesuatu yang tidak sedap didengar, dan kebetulan pula sebelum berlepas ke Jakarta, Perdana Menteri mengulangi pendiriannya, tidak berhasrat menjadi sebuah kerajaan yang populis, iaitu membuat keputusan untuk menyedapkan hati rakyat. Maknanya, Perdana Menteri kalau pun belum memberikan persetujuan kenaikan bayaran tol, sekurang-kurangnya beliau sudah memberikan lampu hijau. Maka di situlah rakyat terus beranggapan bahawa sebagai Pengerusi BN, Datuk Seri Najib terlalu cepat lupa kepada akujanjinya walhal hanya baru berusi setengah tahun sejak ia dikeluarkan sebelum PRU 13. 

Seseorang penulis blog, menukilkan rasa marahnya menerusi puisi. Husin Lempoyang dalam Sajak buat Menteri-Menteri Negeri Pasir Berdengung, menggunakan bahasa yang mudah difahamii tetapi amat sinis maknanya: Mudah pula tuan berkata/Jangan makan bila ayam naik harga/jangan minum manis bila naik harga gula/jangan guna jalan jika tol naik berganda/Pindah ke negara lain jika tak suka Malaysia. Kerana jawapan-jawapan itulah Husin meneruskan sinisnya, kalau tidak pun marah: Kita umpama kain basahan/Tuan perah habis-habisan/Akhirnya kami kekeringan/Merana kami tuan kesenangan. Duit sejumput kami diperas hingga rabak/Gaji tuan sedikitpun tak boleh tolak/Diusul kami tuan amuk sampai koyak/Kami senyum lihat tuan makin menggalak. 

Jawabnya mudah, kerana para menteri memang mempunyai pelbagai elaun, termasuk mempunyai kenderaan yang setiap keperluannya dibayar oleh kerajaan, bahkan elektrik walaupun sampai beribu sebulan pun dibayar. Para menteri tidak perlu mengeluarkan bayaran untuk membayar bil utility, hatta air melimpah di kolam renang pun daripada peruntukan kerajaan. Rakyat kecil khabarnya termasuk dalam kelompok 70 peratus yang tidak terjejas kenaikan tariff elektrik. Kata seorang lagi ahli politik, hanya mereka yang mempunyai bila bulanan RM 150 menanggung kenaikan antara RM 15 hingga RM 20. Tidak ramai mereka yang menghuni kota raya Kuala Lumpur tidak mempunyai alat penghawa dingin di rumah, kerana ramai yang tidak mahu kepanasan waktu tidur malam hari. 

Maknanya, kumpulan kelas menengah memang terasa dengan kenaikan tersebut, saya turut menghitung berapakah pula tanggungan saya apabila tariff elektrik itu distrukturkan mula 1 Januari 2014. (Kenaikan tariff elektrik hanya libatkan bil lebih RM 150, Kosmo, 19 Disember 2013). Ketika harga petrol dinaikkan 20 sen seliter, saya tidak merasai apa-apa kerana tidak menggunakan kenderaan sendiri pergi dan balik ke pejabat. Saya lebih gemar menggunakan kenderaan awam, misalnya bas dan perkhidmatan komuter. Sejak awal November lalu, tiket promosi 50 peratus potongan sudah pun diberhentikan, maknanya saya membayar harga tiket penuh. Saya juga tidak mengeluh, kerana saya faham itu adalah sesuatu yang wajar. Tetapi setiap hari saya mengeluh, lebih setahun longgokan mesin pengesahan tiket terus berbungkus dan hanya dijadikan sebagai pameran “gajah putih”. 

Kalau dianggarkan harganya RM 1,000 seunit, maka semua stesen sekurang-kurangnya ada 10 unit. Itu bermakna RM 10,000 terbazir dan jumlah keseluruhannya, tentunya mencecah jutaan ringgit. Saya terus mengeluh, setiap pagi apabila ke luar stesen, pengendalian penumpang terus dilakukan secara manual, yakni mesti ada orang yang memungut dan memeriksa tiket walaupun mesin yang lama berfungsi, kerana mesin-mesin itu juga tidak boleh diharapkan. Bayangkan, setiap pagi terpaksa berebut-rebut untuk keluar kerana satu dibuka, sesekali terpaksa bermain strategi dengan penumpang yang nak memasuki ke platform dan yang hendak keluat platform. 

Inilah suatu kebanggaan yang berjaya mengharumkan perkhidmatan komuter selain setiap hari berlaku kelewatan tiba atas sebab pengurusan yang tidak cekap. Saya melihat pengurusan KTM memang tidak cekap, termasuk ketika menguruskan krisis. Ia berlaku kerana KTM tidak pernah melihat penumpang menyerbut ke pejabatnya dan berdemo agar pihak pengurusan meletakkan jawatan. Ini juga menyebabkan setiap kali berlaku kelewatan, KTM hanya mengumumkan permohonan maaf, tetapi lupa bahawa maaf yang terlalu kerap sebenarnya mencerminkan kebodohan orang yang memohonnya, maaf di atas kesalahan yang sama berulang-ulang. 

Apabila berada dalam gerabak, ataupun koc, penumpang tidak boleh membuat keputusan tepat jam berapakah mereka sebenarnya boleh sampai ke destinasi, kerana di setiap perjalanan terganggu oleh “signal clearance” atau memberikan laluan kepada “ETS, Tren Antarabandar, ataupun keretapi barang.” Itulah sebabnya, komuter walaupun sudah diperbaharui koc dan kemudahan pengendalian penumpang di stesen, pengurusannya tetap terkenal tidak bijaksana dan mengurus sambil lewa. Sambil lewa kerana sentiasa melakukan kesilapan yang sama berulang-ulang, tetapi, bila ditanya, ada masalah teknikal. Ramai yang membuat andaian, ia sebenarny bukan seratus peratus bersifat teknikal, tetapi memang habit pengurusan KTM yang tidak menghormati waktu perjalanan yang ditetapkan. Ia hanyalah suatu gambaran indah di kertas atau peringkat perancangan semata-mata. Itulah juga “gula-gula” yang berhasrat untuk bertukar menjadi “chewing gum” bagi rakyat. 

Apa pun kenaikan yang dilaksanakan, ia bukanlah suatu beban, kerana kenaikan itu hanyalah rendah dan tidak menjejaskan golongan berpendapatan rendah. Formula manakah yang mereka gunakan, kerana kenaikan walaupun kecil akan mengakibatkan kos bertambah, termasuk kos pengangkutan. Bila kadar tol dinaikkan, maknanya semua orang terpaksa menanggung kos harga barangan, yang juga akan dimasukkan sebagai kos yang terpaksa ditanggung oleh pengeluarnya. Kenaikan harga petrol meningkatkan harga barangan, kerana barangan diangkut menggunakan kenderaan dan bukannya menggunakan gajah atau kereta lembu yang tidak memerlukan minyak. 

Kenaikan-kenaikan itulah sebenarnya menjadi beban tidak langsung setiap orang, tetapi kerana mulai Januari juga elaun wakil rakyat di beberapa negeri diperhitungkan akan naik. Selangor dan Pulau Pinang sudah mengesahkan kenaikan, manakala Perlis bakal menyusul. Ahli Parlimen juga bakal menerima kenaikannya, kerana adalah janggal elaun wakil rakyat negeri lebih besar berbanding elaun wakil rakyat parlimen. 

Tentunya, akan berjangkit pula ke Dewan Rakyat, akan dibuat usul untuk menaikkan sekali lagi elaun mereka. Ini bermakna, Husin Lempoyang betul, gaji tuan sedikit pun tidak boleh ditolak…malah akan terus bertambah, tetapi mesti ingat: Setiap perkara ada balasan/Nasib tuan belum ketahuan. Tuan jangan lupa/Kami manusia biasa/Sabar kami ada tahapnya/Luka kecil boleh menjadi nanah juga/Jangan sampai menjadi barah pula/Cukuplah tuan menyeksa/Cukuplah tuan buat kami merana…Naik tuan dari kami/Jatuhnya tuan juga dari kami. 

Menariknya juga apabila Abd Jalil Ali menulis dalam kolumnya, Dari Menara KL, Perihal rasionalisasi apam, Sinar Harian, 19 Disember 2013: Dalam konteks ekonomi dan urus tadbir mutakhir, ada banyak istilah sengaja digunakan untuk tidak terlalu memarahkan rakyat. Akhir-akhir ini istilah paling kerap kita dengar daripada pemimpin ialah “rasionalisasi”, “penyelarasan”, dan “penilaian semula”. Maknanya sama sahaja, “naik”. Itulah sebab ramai yang marahkan DBKL dan menterinya sekali kerana tuan punya hartanah terpaksa bayar lebih dan berkali ganda cukai taksiran walaupun kadar cukainya belum ditetapkan. 

Rakyat faham, dengan menaikkan nilaian hartanah, ia bermakna akan berlakulah kenaikan bayaran cukai taksiran, biarpun kadarnya tetap 6 peratus setahun. Yang anehnya, semua jawab hampir senada bahawa kenaikan itu berlaku kerana kerajaan “tiada pilihan” termasuklah rasionalisasi subsidi. Kerajaan memerlukan wang untuk melaksanakan projek pembangunan, dan kerana itu dengan mengurangkan subsidi, maka penjimatan tersebut boleh digunakan untuk memperbanyakkan projek. Sebenarnya, projek ataupun apa pun yang dirasionalisasi, akan memberik kesan kepada rakyat. Rakyat, juga seperti ahli politik, tetap mengharapkan laba dan bukan seratus peratus bersandarkan perjuangan. 

Tidak ada lagi manusia yang sanggup berjuang bermati-matian tanpa mengharapkan sesuatu, sesuatu yang boleh menguntungkan dirinya sama ada dalam jangka pendek, sederhana ataupun panjang. Begitu juga dengan kerajaan Selangor, khabarnya akan menaikkan kadar lesen perniagaan sehingga 400 peratus. Maknanya, mahu tidak mahu para peniaga akan memasukkan kos tersebut untuk dibayar oleh pengguna. Ertinya, barangan dan perkhidmatan akan ikut naik. Bahkan, ketika gula lebih mahal 34 sen sekilogram, hara teh tarik sudah meningkat sampai 4o sen segelas, walhal, hanya dua atau tiga sudu gula sahaja digunakan. Kenaikan 34 sen sekilogram gula, peniaga akan memperolehi keuntungan berpuluh kali lipat dengan hanya menaikkan secawan teh tarik 10 sen. 

Kalau pemimpin PKR mengambil peluang mengajak rakyat membantah DBKL, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Klang/Selangor juga membuat bantahan kenaikan kadar bayaran lesen perniagaan oleh kerajaan PKR. Maknanya, sesiapa pun yang memerintah, kenaikan harga akan berlaku. Kerajaan DAP Pulau Pinang menerusi Pihak Berkuasa Air Pulau Pinang, sudah pun menaikkan tariff air. Begitu juga kerajaan PAS Kelantan, tahun lalu memperkenalkan “cukai bakul”. Bukan ini bermakna, sesiapa pun yang memerintah, ia akan tetap menggunakan platform cukai sebagai punca pendapatan yang besar, tanpa cukai kerajaan tentunya tidak akan dapat berfungsi. 

Sekali lagi saya terpaksa memikirkan ke manakah haluan kita pada masa depan. Seandainya kita berjaya menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020, maka banyaklah kita sebagai rakyat terpaksa membayar cukai. Cukai yang kita kena bayar, bukan semakin turun, tetap semakin naik. Inilah kehidupan moden yang terlalu bergantung kepada kepentingan ekonomi, walhal banyak perkara lain yang wajib diberikan perhatian. Ekonomi boleh jadi cergas, kalaulah hasil yang diperolehi kerajaan tidak melibatkan pembaziran, termasuk kes yang terdapat di stesen KTM, kesilapan membuat tempahan dan perjanjian konsesi yang tidak bijaksana atau berat sebelah. 

Semasa lebuh raya nak dibina, rakyat diberitahu pihak konsesinya akan diberikan tempoh masa tertentu. Apabila tamatnya tempoh konsesi itu, lebuh raya akan dikembalikan kepada kerajaan. Inilah kebijaksanaan projek penswastaan dan rasional awalannya. Tetapi, kini, ia akan tetap menjadi suatu bentuk usaha membuat keuntungan berlipat ganda setiap tahun, bahkan, TNB setiap kali berakhir tahun kewangan mengumumkan memperoleh untung besar. Maknanya, kalaulah sudah untung besar, maka tidaklah perlu menstruktur semula tariff walaupun sudah setengah abad tidak melakukannya. Bukankah itu merupakan kebajikan kepada rakyat, keuntungan sebahagiannya dipulangkan kepada rakyat, dan bukannya untuk tujuan lain. TNB boleh membuat pelaburan seterusnya, tetapi, tidak dengan cara menyelaraskan semual tariff elektrik. 

Nampaknya, tahun 2014 rakyat Malaysia akan menyambutnya dengan kenaikan pelbagai cukai dan tahun 2015 pula, cukai barangan dan perkhidmatan akan dikenakan. Makanya, yang belum dicukai ialah ……..tanah ada cukai tanah; pendapatan ada cukai pendapatan; berniaga ada cukai bakul, bayaran lesen; rumah ada cukai pintu; buang air dikenakan bil Indah Water Consortium; rokok semakin tinggi cukainya; semuanya akan terus menjadi mahal dan naik, yang sentiasa turun hanyalah air hujan. Mungkin hujan petang 19 Disember 2013 menjadi petunjuk bermulanya Gelombang Kedua banjir pada tahun ini? Jika sekali lagi banjir melanda, maknanya, selepas ini ramailah rakyat Malaysia akan berfikir semula, kesan banjir sudah menyebabkan sebahagian kita kesusahan (peralatan musnah, rumah hanyut, kenderaan rosak dan sebagainya), akan bertambah peritlah hidup, beberapa hari lagi banyak barangan naik harga dan tambang bas sekolah akan segera menyusul kerana Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) sudah memberikan kenyataan awal, akan membuat keputusannya. Sebelumnya, beliau turut memberikan maklumat, tambang teksi akan diselaraskan dengan tariff yang baharu. Semuanya akan naik, tambang LRT juga ikut naik awal tahun depan. 

Selepas hujan turun, saya berdiri di tepi longkang. Air begitu deras mengalir, maknanya, mulai tahun depan, poket saya akan lebih cepat kempis dan mungkin tidak boleh lagi bertahan sehingga cukup bulan selepas dapat gaji. Berjimat macam mana pun, ia tidak akan cukup kerana terlalu banyak faktor yang menyebabkan poket kita kempis, dan faktor-faktor itu bukanlah dalam kawalan kita. Saya cuba berjimat, menggunakan kenderaan awam, tapi tambangnya akan naik tahun depan. Saya cuba berjimat tidak masuk restoran, makan digerai juga mahal kerana mereka terpaksa membeli barang mentah dengan mahal. Saya cuba membeli barangan buatan Malaysia, harganya kadangkala mengalahkan barangan import manakala setengahnya, belum sempat pakai, butangnya dah tertanggal. 

Saya cuba berjalan kaki, atas alasan kesihatan (membakar sebanyak mungkin kalori), tapi alas kaki juga semakin mahal. Harga kasut melambung tinggi, maka kita syorkan, ke pejabat pakai sahaja selipar jepun atau kaki ayam. Tetapi, keadaannya tidak mengizinkan kerana di pejabat banyak sangat debu dan habuk akibat banyak sangat guna mesin fotostat, peralatan elektrik yang memerlukan pendawaian, takut kalau-kalau tersilap langkah terkena kejutan dan renjatan. 

Maka, hendak ke mana pula kita selepas ini, hutan juga semakin habis diteroka dan sebahagiannya dah jadi negeri berlubang, tanah milik orang dan kita dicelah-celahnya, nak mendongak sakit leher; nak menonong terlanggar bangunan; nak berlari tidak cukup padang; dan nak berjalan mesti hati-hati, tersilap hari bulan kena sembelih atau ditembak mati hanya kerana di dalam poket masih berbaki beberapa ringgit sahaja lagi. Inilah dunia dan kehidupan yang hanya menghargai material, kerana ia adalah ukuran tahap kemodenan dan kemajuan. Maka, walaupun ruang semakin sempit dan psikologi semakin terhimpit, hidup mesti diteruskan. Siapa kuat, tetap dapat; yang lemah akan terus bertanya, di manakah janji untuk membantu rakyat agar tidak terbelenggu peritnya kenaikan kos sara hidup? 

Itulah yang rakyat mahu dengar, mahu penjelasan, selewatnya ketika Perdana Menteri membaca Perutusan Tahun Baharu pada malam 31 Disember 2013 nanti. Itulah yang juga akan mengukurnya, tahap keyakinan adakah menjadi semakin merudum atau sebaliknya. (Baca, Populariti Najib jatuh kerana jurang antara retorik dan realiti, kata penganalisis, Malaysian Insider, 19 Disember 2013). 

Sesekali masih terkenangkan Janji Manismu, dendangan Aisyah. 


PAS Perosak Agama dan Pemecah Bangsa
PKR Pemusnah Bangsa, Pencinta LGBT dan Pro Israel
DAP Amat Rasis, Anti Melayu dan Anti Islam

Wallahhu'alam

Penulis,

Tiada ulasan:

Recent Posts Widget

Tag

PAS Sesat (152) Anwar Al Juburi (91) Isu Semasa (77) Kelantan (69) PKR Reput (60) DAP Laknattullah (56) Pakatan Rakyat (54) Sukan (45) ilmu (45) DS Najib (31) Umno (31) Antarabangsa (28) BN (28) Galas (26) Nik Ajis (26) Selangor (26) Dasar Kerajaan (25) Ekonomi (25) P.Pinang (20) Seni Kreatif (20) Bersih 2.0 (19) Kematian (19) Jenayah (16) PRK DUN Tenang (16) Blogger Songsang (14) Ex-PKR (14) Pengkhianat (14) Tragedi Lahad Datu (14) Blogger Berjuang (13) Pendapat (13) Tun Mahadhir (12) Bajet 2011 (11) Penjawat Awam (10) Batu Sapi (9) Islam (9) Media Pembangkang (9) Banjir2014 (8) Korup@UMNO (8) Mahkamah (8) K.Lumpur (7) Kedah (7) Media Perdana (7) BTN (6) NajibMO1 (6) PDRM (6) PRU 13 (6) Rasis (6) bah2014 (6) Parlimen (5) Perak (5) Bencana (4) Demo 901 (4) Ketuanan Melayu (4) Mahasiwa (4) PRK DUN Merlimau (4) QZ8501 (4) SPR (4) Johor (3) Melaka (3) PRK DUN Kerdau (3) Perlembagaan (3) Tun Abdullah (3) AES (2) AFF SUzuki 2014 (2) AirAsia (2) BN@Beban Negara (2) Cina (2) Demo 311213 (2) Hudud (2) Kesultanan Melayu (2) MCA (2) Menteri BN Bodoh (2) PAP Laknattullah (2) Perkasa (2) Polis (2) Sabah (2) Ulama (2) Video Seks Anwar (2) prayforQZ8501 (2) #prayforQZ8501 (1) APCO (1) DYMM Agong (1) Dunia (1) IsraelvsGaza (1) Kafir Laknattullah (1) Kampus (1) Kartunis Celaka (1) Kemalangan Ngeri (1) Liwat 2.0 (1) MH17 (1) MH370 (1) MIC (1) Militan IS (1) Moral (1) Mustapa Mohamed (1) N.Sembilan (1) PAU 2016 (1) Pahang (1) Pendidikan (1) Perlis (1) PrayforGaza (1) RM-Dollar (1) Rosmah Perosak (1) Sarawak (1) Sayang Malaysia (1) Sejarah (1) Suruhanjaya Antara Agama (1) Tidakpadaonani (1) Tun Hussein Onn (1) Twitter (1) Wira (1) kesihatan (1) najibrazak (1)

Terkini di Blog Chedet (Tun Dr. Mahathir Mohamed)

Terkini Di Ceciter Seram

malaysia flag photo: Malaysia thmalaysia.gif