Khamis, 14 Oktober 2010

Akhirnya "Keranamu Nurul Izzah" : Zaid Ibrahim

Kira-kira sepuluh tahun lalu berlaku gerakan "Reformasi" ala Indonesia. Bermula dan berpusat di kota Jakarta. Matlamat gerakan ini untuk menjatuhkan pemerintahan regim Suharto. Senjata yang digunakan ialah menuduh Suharto mengamalkan KKN (Korupsi, Kroni dan Nepotisme).

Pada waktu yang sama - saya kira memang sudah dirancang dan ada ketoloi dari Amerika - wujud gerakan menjatuhkan Dr. Mahathir Mohamad. Ia bermula secara terbuka apabila Datuk Ahmad Zahid Hamidi, yang waktu itu menjadi Ketua Pemuda UMNO, membuat ucapan menyerang Dr. Mahathir semasa pembukaan Mesyuarat Agung Pemuda.

Senjatanya sama dengan di Jakarta - Dr. Mahathir dituduh mengamalkan "Korupsi, Kroni dan Nepotisme." Esoknya, serentak dengan Perhimpunan Agung UMNO, Dr. Mahathir mengeluarkan satu senarai panjang kroni Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Satu serangan balas yang pantas dan tepat sasarannya. Saya kira, Dr. Mahathir memang sudah tahu, Anwar sedang melakukan gerakan untuk menjatuhkan beliau. Berikutnya bermulalah demonstrasi jalanan dengan laungan "Re-for-ma-si" yang diselang seli dengan pekikan "Allahuakbar".

Di Jakarta, Presiden Suharto jatuh. Di Kuala Lumpur, Anwar yang waktu itu jadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri yang hampir sah akan menggantikan Dr. Mahathir - yang jatuh - dan masuk penjara Sungai Buluh.

Tetapi Gerakan Reformasi, yang juga disertai pemimpin dan penyokong Pas, akhirnya melahirkan Parti Keadilan - sekarang jadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dan setelah mengikat kerjasama pilihan raya dengan Pas dan DAP - pakatan ini mencapai kemenangan besar dalam PRU Ke-12. Selepas ambil alih kerusi Parlimen Permatang pauh daripada isterinya, Anwar dilantik jadi Ketua Pembangkang dan sudah mengatur rancangan untuk menawan Putrajaya.

Gerakan Reformasi ini juga telah melahirkan Nurul Izzah sebagai "Putri Reformasi".

Sekarang Nurul Izzah dikhabarkan akan menawarkan diri merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. Kalau nanti Nurul Izzah jadi Timbalan atau Naib Presiden, maka berlakulah nepotisme yang ditentang Gerakan Reformasi pimpinan Anwar - dalam partinya sendiri.

Dan nepotisme ini akan lebih lengkap dengan masuknya Azmin Ali - pembantu akrab Anuar selama 22 tahun - ke dalam barisan kepemimpinan tertinggi parti.

Datuk Zaid Ibrahim yang baru setahun menyertai barisan kepimpinan PKR juga sedang berusaha untuk merebut jawatan Timbalan Presiden atau Presiden.

Dalam kempennya, Zaid mengkritik keras cara Anwar mentadbirkan parti. Zaid sebenarnya cuba mencabar kekuatan Anwar.

Tiba-tiba pada 7 Oktober lalu, Zaid mengumumkan, "Kalau benarlah Nurul Izzah serius hendak merebut jawatan Timbalan Presiden, saya bersedia untuk menarik diri. Saya bersedia membantu beliau dalam pertandingan ini kerana saya melihat Nurul Izzah adalah nafas baru kepada PKR."

Zaid menegaskan, "Saya tidak menolak kemungkinan untuk bertanding Presiden, bergantung kepada keputusan Nurul Izzah. She has the right attributes. If she thinks that she needs me to contest in any other position, I will also go for it."

Dengan kata lain, Anwar dan Wan Azizah tidak perlu diberi pertimbangan. Ertinya "Kerana mu Nurul Izzah, aku akan berbuat apa saja." Begitulah hebatnya pengorbanan dan perjuangan Zaid dalam politik!

Apabila Zaid meletak jawatan menteri ketika sedang jadi tokoh yang hebat, beliau segera mengumumkan: "Tidak akan menyertai mana-mana parti. Lagi pun saya sudah tua."

Maka beberapa hari beliau jadi bintang berita nasional yang besar. Tetapi tidak lama. Rupanya politik masih tetap dihati beliau dan menaruh dendam pada UMNO. Lalu masuk PKR dan terus dilantik jadi Ketua Cabang Kuala Lumpur dan calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil di Hulu Selangor - melangkah ramai pengasas dan pemimpin yang lama.

Malangnya beliau kalah. Jika menang, pastilah dia jadi bintang baru yang dipuja dalam PKR.

Sama sekali tak diduga, malah tidaklah masuk akal, tokoh politik-peguam-korporat terkenal seperti Zaid, akhirnya meletakkan masa depan politiknya kepada Nurul Izzah.

Strategi politik yang aneh. Melagakan anak dengan ibu dan ayah! Sesungguhnya, apabila Zaid meninggalkan parti lamanya dan masuk PKR, UMNO dan orang Melayu tidak rugi apa-apa pun.

Meskipun kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang nampak lemah, setelah ramai anggota Parlimen PKR keluar, dan DAP sedang bersiap untuk mengambil alih pimpinan pakatan pembangkang, tidak mungkin Zaid akan menewaskan kombinasi Anwar-Wan Azizah-Azmin. Nampaknya masa depan Zaid dalam PKR pun semakin kabur.

Penulis : NOOR AZAM ialah bekas Setiausaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad


Wallahhualam.

Penyunting,

2 ulasan:

udanggalah berkata...

Ramai dalam PKR meragui Zaid.Adakah ia dihantar oleh UMNO sebagaimana Anuar memutarbelitkan isu liwatnya terhadap Saiful.Sesungguhnya PKR memang dah jadi parti terbelit...tak tahu dah mana hujung mana pangkal...Nampaknya ia mula menuju ke gaung yang dalam...

Tamingsari berkata...

Macamtulah Udang...

Memang Nepotisme dalam PKR menyebabkan ia akan lupus satu hari nanti.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Terkini

Recent Posts Widget
malaysia flag photo: Malaysia thmalaysia.gif