Ahad, 28 November 2010

Perang Korea Kembali Berbunga


Konflik terbaru di semenanjung Korea Selasa lalu telah mengheret dua kuasa besar yang masing-masing mempunyai kepentingan politik dan ekonomi selain mahu mengimbangi pengaruh antara satu dengan lain. Malah konflik yang dianggap antara provokasi terbesar selepas tamatnya Perang Korea 1953. Empayar Korea yang dulunya satu telah terbelah dua oleh Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat (AS) pada 1945, ketika Perang Dunia Kedua.

Hingga kini terus terbelah, satu bangsa dan satu budaya menjadi dua yang berbeza ideologi. Masing-masing digunakan oleh kuasa besar dan konflik terbaru bukan saja melibatkan Korea Utara dan Korea Selatan malah kuasa-kuasa besar, China dan AS yang menaungi kedua-dua negara ini.

Selepas enam dekad, dendam dan prasangka terus menjadi menyala. Gerak geri di sempadan menjadi perhatian kerana masing-masing seolah-olah menunggu masa untuk menyambungkan perang yang tertunda. Selepas dua dekad runtuhnya negara blok komunis di Eropah Timur, Korea Utara cuba bertahan dengan ideologi komunis yang muflis itu. Kebergantungan kepada kuasa besar ekonomi iaitu China selepas era keruntuhan Kesatuan Soviet terus memperkukuhkan kedudukan Korea Utara.

Maka bedilan yang membunuh dua orang awam dan dua tentera di Pulau Yeonpyeong, Korea Selatan adalah isyarat kepada AS dan Barat. Di rantau Asia Timur, Korea Utara adalah bom jangka yang boleh meletup dengan tiba-tiba. Kalau berlaku sekali lagi Perang Korea, kesannya jauh lebih besar terhadap landskap politik di Asia Timur. Korea Selatan adalah sekutu AS di rantau itu.

Provokasi ini dengan sendirinya memusnahkan perjanjian damai pada 4 Oktober 2007. Lapan perkara dalam perjanjian antara bekas Presiden Korea Selatan, Roh Moo-Hyun dan pemimpin Korea Utara, Kim Jung il antara lain mengenai kerjasama ekonomi, membaharui perjanjian laluan keretapi, jalan darat dan udara antara kedua-dua negara.

Bekas Presiden AS, George W. Bush melabelkan Korea Utara sebagai "paksi kejahatan". Tindakan ketenteraan itu dianggap satu provokasi kepada Korea Selatan dan AS selepas beberapa hari Korea Utara mengumumkan peningkatan loji nuklearnya.

Korea Utara adalah sebuah kuasa komunis yang memperkayakan dan membangunkan pelan senjata nuklear dan peluru berpandu pelbagai jarak termasuk jarak jauh yang mampu sampai ke Washington. Ia sebuah negara tentera. Daripada populasi rakyat 23.4 juta orang, 1.19 juta adalah anggota tentera yang aktif sementara 7.7 juta pula adalah tentera simpanan. Berbanding Korea Selatan yang hanya mempunyai 655,000 anggota tentera aktif dan 3.3 juta tentera simpanan. Ini menunjukkan hidup Korea Utara bukan saja mempertahankan negara, malah untuk berperang dan memperagakan kuasa.

Ini adalah satu-satunya kuasa komunis yang secara terang-terangan mendedahkan program senjata nuklearnya tetapi tidak ada tindakan balas daripada AS. Daripada segi saiz pelan senjata nuklear, Korea Utara sangat berbahaya kepada dunia, bukannya Iran atau Iraq. Korea Utara mengeluarkan kira-kira 50 kilogram plutonium yang boleh membuat lapan senjata nuklear.

Maka tidak hairanlah kalau AS mengambil tindakan berhati-hati menangani isu ini. AS memilih untuk tidak melawan provokasi dengan provokasi. AS tidak mengikut rentak Korea Utara dalam kejadian bedilan ini tetapi telah bersiap sedia apabila kapal perang induknya USS George Washington sudah berada di perairan Korea Selatan sebaik saja tercetus konflik terbaru ini. Kapal perang itu membawa 75 jet pejuang bersama 6,000 bala tentera dikatakan hanya membuat "latihan" biasa di perairan itu. Walaupun begitu, kehadiran kapal perang itu tidak dapat menyembunyikan matlamat untuk melindungi Korea Selatan sekaligus meningkatkan ketegangan di semenanjung Korea.

Pada masa yang sama provokasi ketenteraan ini juga dianggap isyarat peralihan kuasa daripada diktator Kim Jong il kepada anaknya, Kim Jong un. Ini menunjukkan obsesi Jeneral Muda yang mahu memperlihatkan kekuatan dan keupayaan senjata nuklear yang bukan menjadi rahsia lagi.

Bagaimanapun peralihan kuasa juga memberi dilema kepada Kim Jong il. Antara yang menjadi persoalan apakah Kim Jong un yang muda itu membuat persiapan yang secukupnya meneruskan legasi keluarga Kim di negara itu? Ada tiga perkara penting yang membelitnya; adakah barisan utama tentera akan setia kepada Jeneral Muda muda itu, adakah wujud kestabilan politik dan mampukah kuasa politik terus berada dalam genggaman keturunannya.

Walaupun diasak oleh kuasa besar seperti AS dan badan dunia seperti Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Korea Utara tidak boleh diperkecilkan kesannya kepada landskap politik di rantau itu.

Kedua-dua negara yang satu bangsa dan satu budaya ini masing-masing mempunyai pelindung yang terdiri daripada kuasa besar. Maka apabila kedua-dua "anak-anak" ini bertelagah, kesannya melibatkan kedua-dua orang tua mereka.

Kerana itu bedilan ini bukan perkara kecil. Malah akan memberi ledakan besar terutama dalam hubungan diplomatik AS - China yang mula terjalin. AS juga tidak terburu-buru kerana memerlukan China yang akan muncul sebagai kuasa ekonomi yang baru. Bagaimanapun China terus didesak supaya memberi tekanan kepada Korea Utara mengenai isu bedilan ini. Bedilan itu juga mencabar Presiden AS Barack Obama yang menjadikan pembanterasan senjata nuklear sebagai salah satu perkara dalam manifesto parti Demokrat semasa berkempen pilihan raya Presiden 2008.

Bedilan yang memusnahkan lebih 60 bangunan itu adalah tindakan paling agresif ke atas orang awam selepas pengeboman pesawat Korean Air pada 1987. Ini juga mencatatkan sejarah sebagai bedilan pertama ke atas Korea Selatan selepas berakhirnya Perang Korea pada 1953, yang tanpa perjanjian damai itu.

Pertelagahan Korea Utara dan Korea Selatan tidak berlaku tanpa campur tangan kuasa-kuasa besar. Mereka ada kepentingan di segi ekonomi dan ketenteraan. Ketegangan kedua-dua negara ketika ini adalah isyarat ketegangan antara kuasa-kuasa besar yang berada di belakang kedua-duanya.

Ketika ini pihak yang mampu meredakan tindakan provokatif Korea Utara adalah China. Hubungan akrab kedua-dua negara yang berkongsi sempadan ini menjadi kebimbangan Barat. China antara negara yang menduduki perbincangan enam negara, ini termasuk Korea Utara, AS, Korea Selatan, China, Jepun dan Rusia. Komitmen negara-negara berkenaan ialah memantau program nuklear Korea Utara dan selama ini China tidak memperlihatkan tentangan terhadap program nuklear itu.

Malah China telah memberikan reaksi dingin mengenai sekatan terbaru Majlis Keselamatan PBB terhadap Korea Utara. Tindakan sekatan itu berikutan 46 tentera Korea Selatan terkorban dalam tragedi bedilan kapal perang Korea Selatan Mac lalu. China dijangka tidak akan mengambil langkah-langkah yang bertentangan dengan prinsipnya sebelum ini. Semua ini disebabkan Korea Utara begitu penting bagi mengimbangi kuasa AS di rantau berkenaan.

China tetap mahu "memisahkan" dua Korea itu kerana strateginya mahu menjadikan Korea Utara sebagai "buffer zone" untuk memberi tekanan kepada Korea Selatan. Kerana itu juga China akan melakukan apa saja strategi yang boleh melambatkan "kehancuran" Korea Utara demi kelangsungan geopolitik China di rantau berkenaan.

Sebelum ini Korea Utara telah mengejutkan pemerhati politik dunia apabila membenarkan wartawan asing membuat liputan perayaan ulang tahun ke 65 Parti Pekerja menerajui Korea Utara.

Bukan itu saja malah Korea Utara difahamkan akan membenarkan keluarga-keluarga yang terpisah sejak Perang Korea enam dekad lalu bertemu di sebuah resort di Korea Utara. Tetapi kini adalah sebaliknya apabila Perang Korea kembali berbunga.

Diadaptasi dari Utusan Malaysia.

Walllahhualam.

Penulis,

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Terkini

Recent Posts Widget
malaysia flag photo: Malaysia thmalaysia.gif