Sabtu, 4 Disember 2010

Adakah Penjimatan Subsidi Satu Tindakan Terbaik Mendapat Dana Segera?


Adakah Penjimatan Subsidi Satu Tindakan Terbaik Mendapat Dana Segera? 

Inilah persoalan yang perlu dijawab oleh kerajaan selepas Taming Sari menilai kenyataan Kerajaan melalui DS Idris Jala di dalam Utusan hari ini :
Rasionalisasi subsidi perlu dilakukan kerana kerajaan mendapati ia perlu terus mengurus kedudukan fiskalnya dengan cara meningkatkan jumlah kutipan hasil dan pada masa sama, mengurangkan perbelanjaan.
Program Transformasi Ekonomi (ETP) bertujuan meningkatkan per kapita Pendapatan Dalam Negara Kasar (PDNK) kepada AS$15,000 menjelang 2020, tambah kenyataan itu.
Untuk mencapai sasaran tersebut, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu berkembang sekurang-kurangnya enam peratus setahun bagi membolehkan hasil yang diperoleh kerajaan meningkat melalui kutipan cukai.

Bagi mereka yang kurang arif mengenai ekonomi, pastinya sukar untuk memahami apa sebenarnya perancangan kerajaan yang tampak baik tetapi mungkin kaedah yang digunakannya perlu diperbaiki. Kerajaan kini perlu lebih realistik dan tidak boleh terkejar-kejar dalam mengapai impian mahu menjadikan Malaysia sebagai negara maju jika tiada sumber proaktif mengunjur ke arah itu. 

Mengapa Taming Sari berkata demikian, jika kerajaan betul-betul yakin dengan Program Transformasi Ekonominya, mengapa kerajaan tidak cuba meminjam dari dana lain seperti KWSP, PNB atau Tabung Haji seperti mana yang pernah dilakukan Tun Mahadhir bagi mengerakkan jentera ekonomi selepas lumpuh pada tahun 1998 akibat krisis ekonomi rantau asia tenggara. Mengapa perlu mengambil hak rakyat secara berperingkat-peringkat sedangkan rakyat tetap memiliki pendapatan isi rumah yang tetap tanpa ada sedikit pun kenaikan. 

Kerajaan perlu melihat perkara ini dengan mata yang adil kerana walaupun kenaikan hanya berbunyi 5 sen, ia akan mengurangkan terus kuasa penguna dan menjejaskan perbelanjaan penguna di mana ia adalah salah satu daripada pembolehubah kepada PDNK negara. Semasa zaman Tun Mahadhir, dia galakkan rakyat bebelanja kerana dengan mengalakkan rakyat berbelanja, ekonomi akan pulih kerana segala sektor perniagaan, hartanah, industri dan automobil bergerak dengan sendirinya. Apa yang Tun M buat bagi mengalakkan rakyat berbelanja? Melalui dasar kewangan dia kurangkan kadar faedah pinjaman bank, untuk galakkan bank bagi pinjam pada orang ramai, serta dia kurangkan kadar simpanan bagi mengurangkan rakyat menyimpan wang. Masa itu masa berbelanja bukan menyimpan.  

Tun M tidak pegang kepada slogan rakyat perlu berjimat habis-babisan kerana ketika itu jika rakyat terlalu berjimat, ekonomi akan lumpuh. Dikala itu rakyat perlu diberikan kuasa untuk berbelanja. Entiti yang perlu berjimat adalah kerajaan. Kerajaan perlu membuat pilihan dan kos lepas. Mana mungkin dengan sumber dana yang terhad, mereka boleh membuat segala perkara. Sebagai contoh, kalau nak bina Menara Warisan, kenalah lupakan dulu projek landasan berkembar Ipoh-Penang. Kalau kerajaan ingin membina kedua-duanya juga, buatlah pinjaman dalam negeri samaada melalui KWSP, PNB atau Tabung Haji. Bukan dengan cara mengurangkan subsidi kepada rakyat tambahan pula, subsidi yang dipotong kepada barangan yang menjadi asas hidup rakyat. Maknanya, kerajaan perlu menilai mana satu projek yang lebih memberi pulangan kepada ekonomi. 

Ramai yang melahirkan rasa kecewa dengan kenaikan ini kerana ia dibuat tidak kena pada waktu dan masanya. Kerajaan perlu menilai semula kenaikan ini kerana di akhir tahun selalunya rakyat sibuk dengan persekolahan anak serta pelbagai lagi kehendak ekonomi isi rumah. Jika rakyat tahu bagaimana untuk berjimat. Kerajaan juga kini perlu bijak untuk berjimat serta membuat pilihan dan kos lepasnyaPenjimatan disini bukan bermaksud penjimatan subsidi, tetapi penjimatan wang pembangunan. Rakyat pasti sedar, dan faham jika kerajaan telus serta berterus terang kepada rakyat dalam memberi alasan mengapa satu-satu projek mega kerajaan terpaksa ditangguhkan. Rakyat rela projek itu ditangguh asalkan tidak menjejaskan pendapatan isu rumahnya serta kuasa beli mereka tidak jatuh.  

Kita berbelanjalah mengikut kemampuan kita. Jangan over-expend sehingga terpaksa meminta rakyat menangung kesannya. Tun M pun perlukan 22 tahun bagi menjadikan Malaysia membangun ke Malaysia Moden yang diterjemahkan oleh bandar metropolitan Kuala Lumpur. Bukannya boleh dibina dalam masa sepenggal pemerintahan. 

Ekonomi bependapatan tinggi adalah satu impian yang sangat dimahukan rakyat kerana hanya dengan pendapatan perkapita yang tinggi sahajalah rakyat dapat menyesuaikan diri dengan kenaikan inflasi. Namun, satu sahaja harapan Taming Sari, pendapatan tinggi ini adalah agenda yang melibatkan semua peringkat dan kasta tanpa ada sesiapa pun tertinggal. Janganlah ia hanya dicapai oleh kumpulan berpengaruh serta kroni sahaja sedangkan rakyat marhaen, terus dilupakan. Dikala itu, nantikanlah bala yang bakal menimpa pemerintah. 

Rakyat masih menunggu dan menaruh harapan yang tinggi mahu melihat hasil kerja tangan kamu wahai Barisan Nasional.

Wallahhualam.

Penulis,

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Terkini

Recent Posts Widget
malaysia flag photo: Malaysia thmalaysia.gif