Selasa, 7 Disember 2010

Hijrah Terbaru MIC dan Samy Vellu


Parti MIC akhirnya menyaksikan peralihan kuasa selepas 31 tahun dipimpin Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu apabila beliau menyerahkan jawatannya itu kepada pengganti yang juga timbalannya, Datuk G. Palanivel hari ini.

Sementara itu, Naib Presidennya, Datuk Dr. S. Subramaniam pula mengambil alih jawatan sebagai Timbalan Presiden berkuat kuasa serta merta.

Samy Vellu selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti buat kali terakhir berkata, jawatannya sebagai Presiden akan tamat sejurus keluar dari bilik mesyuarat itu.

"Selepas ini, Palanivel akan menjadi Presiden penuh dan Dr. Subramaniam akan menjadi timbalan. Kedua-dua mereka bukan pemangku bagi kedua-dua jawatan tersebut seperti yang dinyatakan oleh segelintir ahli MIC dan pihak media.

"Walaupun tempoh jawatan saya hanya akan berakhir pada Mac 2012 depan, tetapi saya mengambil keputusan ini untuk memberi laluan kepada pengganti saya untuk melakukan persediaan yang mencukupi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Tambahnya, beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Presiden MIC pada mesyuarat CWC hari ini dan kesemua ahli CWC telah menerima surat tersebut.

Menurut beliau, walaupun telah meletakkan jawatan, namun beliau masih menjadi ahli MIC dan tetap meneruskan sumbangan kepada kaum India serta negara dalam kapasiti lain.

"Saya yakin bahawa gandingan kepimpinan Palanivel dan Dr. Subramaniam dapat memimpin parti ini dengan baik demi kebaikan dan kesejahteraan ahli MIC khususnya kaum India di negara ini," jelasnya.

Ditanya mengenai rancangannya selepas ini, Samy Vellu berkata, beliau akan kekal sebagai Pengerusi Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED).

Menurutnya, beliau bersedia menerima jawatan sebagai duta salah sebuah negara Asia bagi mengukuhkan sektor ekonomi negara jika mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Biar Perdana Menteri memberi arahan itu. Jika beliau mahu saya menjadi duta tersebut, pasti saya menerima jawatan berkenaan," jelasnya.

Beliau berkata, jika beliau tidak diberi peluang menerajui atau memasuki MIC dulu, beliau mungkin menjadi seorang arkitek dan membuka pejabat sendirinya.

"Cita-cita saya sejak kecil lagi adalah untuk menjadi arkitek dan membuka pejabat sendiri," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai masa depan anaknya, S. Vell Paari, beliau mengakui anaknya kecewa dengannya kerana tidak diberi peluang dan bimbingan untuk menerajui parti itu.

"Kini giliran Palanivel, beliau boleh membimbing Vell Paari untuk jadi ahli politik berjaya jika percaya dengan kewibawaannya," katanya.

Dalam pada itu, Palanivel berkata, beliau bersedia menerajui parti itu dengan gayanya sendiri.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan mencontohi gaya Samy Vellu yang sentiasa cepat dan tegas.

"Saya seorang pendiam dan melakukan sesuatu perkara dengan perlahan, tetapi gaya Samy Vellu adalah berlainan. Jika kaum India atau ahli MIC suka gaya saya, saya akan meneruskan kepimpinan dengan gaya saya sendiri.

"Jika mereka mahu saya mencontohi Samy Vellu, sudah pasti saya cuba berbuat yang terbaik," jelasnya.

Palanivel turut memberitahu bahawa beliau akan berjumpa pihak media dalam tempoh terdekat bagi mengumumkan tindakan pertamanya sebagai pemimpin baru parti itu.


Wallahhualam.

Penulis,

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Terkini

Recent Posts Widget
malaysia flag photo: Malaysia thmalaysia.gif