Isnin, 20 Disember 2010

Alkisah Mengenai UMNO Machang !!

Pernahkan program Juara Rakyat UMNO diaudit dan dinilai keberkesanannya 
bagi menobatkan UMNO sebagai juara rakyat?

Gesaan dari UMNO bahagian Machang, Kelantan supaya agensi dan jabatan kerajaan persekutuan perlu menunjukkan kepada rakyat  bahawa mereka betul-betul ikhlas membantu rakyat serta menyahut seruan merakyat agensi dan jabatan kerajaan adalah satu gesaan yang tidak kena pada tempatnya. Sepatutnya UMNO itu sendiri perlu lebih mendekati rakyat dan mengotakan janji-janji mereka kepada rakyat. 

Kenyataan salah seorang orang UMNO tersebut diluahkan kepada ketua-ketua Jabatan dan wakil ketua jabatan di salah sebuah mesyuarat Program Juara Rakyat Mengikut Peti Undi pada hari Khamis yang lalu. Memang diakui, ramai ketua jabatan dan wakil yang berasa hati dengan kata-kata tidak berpayung yang keluar dari mulut pemimpin UMNO bahagian yang seakan-akan agensi dan jabatan persekutan tidak populis di kalangan rakyat. 

Ada sesetengah mereka menyindir bahawa agensi kerajaan persekutuan perlu mengambil peluang menyertai Program Juara Rakyat seperti ini kerana inilah peluang menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka betul-betul berkerja dan tidak makan gaji buta. Ada Ketua Jabatan yang terasa kerana disindir kononnya tidak memberi kerjasama sedangkan jabatan dan agensi itu komited menyokong semua program UMNO Machang.  

Taming Sari yang mendapat tahu berita ini sungguh kesal dengan apa yang berlaku dan meyetujui kata-kata sesetengah wakil jabatan dan agensi mengatakan bahawa agensi dan jabatan persekutuan sudah banyak melaksanakan sebaik mungkin tugas mereka kepada rakyat khususnya rakyat Machang. Malah jika ditanya kepada rakyat Machang, antara UMNO dan agensi persekutuan, mana lebih mereka kenali? Sudah pasti mereka lebih menyayangi agensi itu sendiri dari UMNO yang masih berimejkan koporat, sukar didekati dan penuh dengan suasana politik yang menjijikkan.  

Program Juara Rakyat yang bakal diadakan pada 25 Disember 2010, hari Sabtu ini bakal menyaksikan UMNO Machang sebagai juara dan perintis dikalangan UMNO sendiri kerana belum pernah ada lagi UMNO Bahagian yang mengadakan program seumpama ini di semua peti undi serentak bagi parlimen mereka. Agensi kerajaan pusat dikerah merealisasikan program mereka ini sambil berkira-kira peti undi mana yang bakal dihadiri ramai pengunjung kerana kononnya ada habuan yang bakal diterima. 

Memperkudakan agensi dan jabatan kerajaan sudah menjadi kebiasaan bagi UMNO namun apa yang Taming Sari mahukan hanya satu, tolong hormati hiearki organisasi setiap agensi dan menghargai sumbangan agensi kepada rakyat. Mereka yang berada di dalam agensi dan jabatan kerajaan juga adalah rakyat yang perlu didahulukan kerana mereka tiada langung kaitan dengan survival politik UMNO. Mereka yang berkerja di dalam agensi hanya mereka yang menurut perintah kepada sesiapa sahaja pemerintah tetapi dalam masa yang sama mereka juga adalah rakyat yang mempunyai kuasa mengundi. 

Jika sikap dan keegoaan kepimpinan UMNO akar umbi masih tidak selari dengan perubahan peringkat nasional, jangan mimpilah UMNO mahu menjadi juara di hati rakyat. UMNO perlu ingat, agensi dan jabatan persekutuan adalah entiti yang paling rapat dengan rakyat dan mereka adalah instumen penting bagi menyampaikan risalah dasar kerajaan pusat terus kepada rakyat. Bayangkanlah jika UMNO tidak mejaga hubungan mereka dengan agensi dan jabatan persekutuan, pasti UMNO tidak akan dipandang rakyat lagi.  

UMNO Machang perlu merakyatkan parti itu kepada rakyat khusus merampas kembali kerusi parlimen itu dari PKR iaitu Saifuddin Nasution yang gagal membawa wadah pembaharuan kepada Machang. Saifuddin adalah ahli parlimen yang gagal dan hanya sibuk dengan PKR-nya yang punah ranah. Dikala inilah UMNO Machang perlu mendekati rakyat bagi memalingkan undi mereka kepada UMNO. 

Jadi, amatilah teguran ini dengan hati terbuka wahai puak-puak UMNO sekalian.

Wallahhualam.

Penulis,



Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Terkini

Recent Posts Widget
malaysia flag photo: Malaysia thmalaysia.gif