Sabtu, 22 Januari 2011

Pakatan Selangor Tidak Ikhlas Memperjuangkan Hak Sultan !


Ketika isu pertikaian pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mula ditimbulkan, sengaja penulis menebak persoalan kepada seorang penyokong kuat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; "Adakah anda yakin boleh menang dalam permainan ini?"

Katanya, kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor terpaksa meneruskan tindakan 'melawan' pelantikan itu demi survival politik meskipun kelihatan laluan begitu sukar.

"Jika diterima sahaja pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK yang baru, kami akan 'habis'," katanya.

Pentadbiran Abdul Khalid sejak dari awal menganggap pelantikan tersebut sebagai satu 'serangan' politik kepada mereka. Alasannya pelantikan itu membelakangkan Menteri Besar.

Sehingga terpacul keluar kenyataan dari Exco kerajaan negeri, Dr. Halimah Ali dari Pas bahawa 'kami sudah tidak larat' dengan serangan-serangan politik dan meminta rakyat bersolat hajat.

Soalnya siapakah yang menyerang? Ternyata pada sisi lain, isu SUK telah dieksploitasi dengan sebegitu jauh sehingga begitu meresahkan rakyat negeri Selangor.

Pentadbiran Abdul Khalid sengaja memilih untuk tidak membiarkan politik Selangor berehat seketika. Ia boleh menjadi modal yang berpanjangan, meleret hingga ke pilihan raya umum akan datang.

Sejak isu itu timbul rakyat telah terpecah dua - satu menyokong dan satu membantah tindakan kerajaan negeri.

Pelantikan SUK adalah sah dari segi undang-undang dan ia telah diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Abdul Khalid juga mengakui pelantikan itu sah tetapi beliau keras kepala enggan menerima Khusrin. Dengan khabarnya, beliau amat kecil hati kerana tidak dimaklumkan pelantikan tersebut.

Faktor perkenan sultan telah menyebabkan rakyat begitu marah dengan tindakan pentadbiran Abdul Khalid. Diburukkan lagi dengan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Seri Muda, Shuhaimi Shafiei yang dilihat begitu biadap terhadap baginda.

Jika tidak bersetuju sekali pun dengan SUK baru, Abdul Khalid sebenarnya boleh memilih untuk bertindak secara dalaman tanpa menggoncang politik negeri.

Namun mereka nampaknya tidak boleh tahan apabila nama Khusrin yang naik sebagai calon teratas dan akhirnya diperkenankan Sultan Selangor.

DAP 'menjerit' kerana bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu begitu tegas dalam kes wakil rakyat DAP masuk masjid. Pas pun menjerit sama kerana ada pemimpinnya tidak diberikan tauliah berceramah.

Cuma baru-baru ini Pesuruhjaya Pas, Datuk Dr. Hassan Mohammed Ali agak 'berlunak' apabila tidak mahu serangan dihalakan secara peribadi kepada Khusrin kerana ia akan menyebabkan puluhan ribu anggota perkhidmatan awam negeri ini akan marah.

Sebagai bekas anggota pentadbiran awam, Hassan nampaknya mengetahui dan sedar tentang sentimen tersebut.

Pentabdiran Abdul Khalid tiada jalan lain kecuali membuat tindakan paling sukar dengan mencadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri 1959. Sedangkan beliau menyedari pakatan PKR, DAP dan Pas tidak memiliki majoriti dua pertiga untuk membolehkan pindaan itu diluluskan.

Mereka berhujah pindaan itu penting bagi mengembalikan kuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar untuk membuat pelantikan jawatan SUK, Penasihat Undang-Undang negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Di sini jelas pakatan pembangkang cuba menukar rentak permainan dengan menyatakan mereka memperjuangkan kuasa sultan agar dikembalikan.

Dengan perkembangan terkini, apabila keputusan Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim mengumumkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong apabila wakil rakyatnya, Badrul Hisham Abdullah didakwa tidak hadir persidangan selama enam bulan, kerajaan negeri memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua lagi kerusi DUN.

Dan hari ini Chang Khim membuat keputusan untuk melarang Badrul Hisham daripada menghadiri sidang tersebut.

Jika mereka mahu meraih sokongan daripada mana-mana ADUN BN, harapan itu hanya bersifat angan-angan. Semalam, Barisan Nasional (BN) telah membuat pendirian untuk hadir sidang tersebut tetapi akan menolak pindaan tersebut.

BN mesti hadir bagi membahaskan pindaan tersebut sekali gus dapat menjelaskan sebab mengapa pindaan tersebut perlu ditolak. Ketua Penerangan UMNO, Abdul Shukor Idrus berkata, ADUN BN baru menerima draf pindaan tersebut hari ini.

Katanya, pindaan satu perenggan itu membabitkan peruntukan agar cadangan pelantikan SUK dan tiga jawatan tertinggi negeri oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memerlukan pertimbangan daripada Menteri Besar.

''Kita nampak tiada bezanya peruntukan undang-undang yang sedia ada kecuali peruntukan Sultan perlu mendapatkan nasihat daripada Menteri Besar.

''Kita akan bahas nanti bahawa peruntukan sedia ada sudah baik dan selama ini kita tidak pernah membelakangkan Sultan dan baginda sendiri telah memilih Mohammed Khusrin menjadi SUK," katanya.

Katanya, pendirian BN adalah muktamad iaitu tidak akan menyokong pindaan tersebut.

Jelas beliau, tidak timbul soal UMNO atau BN menolak atau tidak menghormati sultan sebaliknya yang 'menderhaka' adalah kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid kerana sampai sekarang enggan menerima pelantikan SUK yang telah direstui oleh baginda.

Abdul Shukor yang juga ADUN Kuang berkata, ADUN BN akan berbahas secara rasional dan tidak akan bertindak sebagaimana pembangkang di Perak yang kerap kali mencetuskan kekecohan dalam sidang DUN.

''Kita akan berbahas secara baik, walaupun kita pembangkang di negeri ini, kita akan tetap bertindak rasional.

''Tetapi tidak tahulah bagaimana wakil rakyat pakatan PKR, DAP dan Pas, kalau mereka sendiri yang membuat kecoh nanti, rakyat sendiri boleh membuat penilaian," katanya.

Bagi pakar undang-undang, Datuk Sallehuddin Saidin, pihaknya tidak mahu membuat sebarang jangkaan adakah pindaan itu akan berjaya diluluskan atau tidak.

''Saya tidak mahu membuat tanggapan negatif tetapi sekiranya tidak berjaya diluluskan, Abdul Khalid sepatutnya mengambil pendekatan menerima dan akur atas pelantikan Mohammed Khusrin.

''Berjaya atau tidak pindaan itu, Khusrin tetap kekal sebagai SUK," katanya.

Dalam hal ini, katanya, Khusrin mempunyai hak dari segi undang-undang untuk menjalankan tugasnya sebagai SUK termasuk untuk turut serta dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri.

''Bagaimanapun, beliau perlu mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar. Beliau perlu diberikan hak untuk berbuat demikian.

''Kalau beliau dihalang daripada menjalankan tugas-tugasnya menurut undang-undang, maka kalau beliau mahu mengambil tindakan undang-undang, itu adalah haknya," katanya.

Sallehuddin berkata, dalam undang-undang sedia ada, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang diperuntukkan kuasa melantik SUK tetap menghormati kedudukan Sultan Selangor apabila mempersembahkan senarai calon SUK untuk diperkenankan oleh baginda.

Katanya, amalan yang dilakukan oleh SPA itu jelas menunjukkan suruhanjaya itu menghormati kedudukan Sultan Selangor yang mempunyai kuasa eksekutif.

''Jadi apa gunakan pindaan tersebut kerana amalan sekarang kedudukan baginda terus dihormati," katanya.

Malah sebenarnya, jika kerajaan negeri mempersoalkan pelantikan Khusrin sebagai SUK sekali pun mereka sepatutnya memberikan peluang kepada beliau melaksanakan tugas.

''Kalau lepas dua tiga bulan mereka tidak puas dengan khidmatnya, beritahulah SPA, kami tidak mahu orang ini lagi, tukarkan. Jadi tidak perlu pinda perlembagaan negeri," katanya Sallehudin.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain menjelaskan, berdasarkan prosedur sebenarnya pelantikan SUK sudah selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

Kata penganalisis politik itu, apa yang menjadi masalah ialah faktor tidak puas, bahawa Khusrin dianggap bukan 'orang' Abdul Khalid.

Jelasnya, pakatan pembangkang tidak menganggap sokongan dua pertiga dalam sidang DUN sebagai penting kerana apa yang menjadi tujuan sebenar mereka hanya ingin memerangkap BN yang selama ini begitu lantang memperjuangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

''Nanti mereka boleh menempelak UMNO sebagai tidak mahu mengembalikan kuasa sultan jika mereka tidak menyokong pindaan itu. Jadi BN perlu berhati-hati," katanya.

Ahmad Atory melahirkan rasa hairan bagaimana timbul soal 'kembalikan' kuasa sultan kerana dengan perkataan kembalikan sudah pasti ada tindakan menarik balik sebelum itu.

Soalnya bilakah berlaku penarikan balik kuasa sultan?

Katanya, apa yang terjadi semasa pindaan 1993 ketika di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah soal mengurangkan kekebalan raja-raja dari segi kesalahan jenayah manakala bagi kes sivil tiada undang-undang boleh diambil ke atas raja-raja.

''Sebaliknya, bagi pelantikan SUK di Negeri Negeri Melayu Bersekutu termasuk Selangor, sejak dari dulu ia diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Ini berbeza dengan kedudukan di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, pelantikan pegawai kerajaan divisyen tertinggi terletak kepada kuasa negeri," katanya.

Katanya, keadaan berbeza di Pulau Pinang apabila Ketua Menterinya, Lim Guan Eng tidak menjadikan masalah pelantikan SUK sebagai isu besar.

''Sedangkan proses pelantikan adalah sama. Saya lihat Guan Eng tidak akan berani bertindak seperti Abdul Khalid kerana bimbang tercetuskan konflik perkauman. Dia pun tahu. Berbeza di Selangor, ia membabitkan pertembungan semasa orang Melayu," katanya.

Tindakan Abdul Khalid tidak mengiktiraf pelantikan SUK yang baru hanya akan mengkucar-kacirkan pentadbiran negeri.

Pergolakan politik akan terus berlarutan kerana di atas kertas pentadbiran Abdul Khalid sudah pasti gagal untuk meluluskan pindaan tersebut. Nanti rakyat Selangor hanya akan mampu mengeluh; ''Apa lagi hendak berlaku di negeri kita ini?"


Penulis,

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Terkini

Recent Posts Widget
malaysia flag photo: Malaysia thmalaysia.gif