Selasa, 8 Februari 2011

Cabaran SPR : "Menjunjung Demokrasi"


Ratusan ribu rakyat bekerja dan menghuni Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya, tetapi pengundinya sekitar 8,000 orang sahaja?

Ini mendedahkan betapa mereka hanya bekerja di situ dan kampung halaman tetap menjadi pangkalan memangkah undi. Sikap ini bukan pelik. Cuma keengganan menukar alamat mengundi kadangkala menyusahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri. Mungkin penyandang jawatan politik terkecuali daripada berbuat demikian atas faktor survival politik.

Tetapi kita? Sekurang-kurangnya jika tarikh pilihan raya tidak diiringi cuti umum, maka dapatlah tanggungjawab ditunaikan di tempat bekerja. Tidak perlulah bergegas balik ke kampung.

Itulah dilema SPR, sehinggakan acap kali berlegar-legar dakyah 'wujud pengundi hantu' di setiap kawasan pilihan raya kecil (PRK). PRK ke-15 sejak Mac 2008 di Merlimau dijangka diadakan pada 6 Mac mungkin tidak terkecuali.

Pendaftaran pengundi secara automatik pula sukar dilaksanakan kerana selagi alamat dalam kad pengenalan tidak selaras dengan alamat tempat tinggal, maka selagi itulah ia gagal direalisasikan. Apatah lagi pelaksanaannya perlu merentasi dulu pindaan Perlembagaan yang jelas menyebut 'Pendaftaran pemilih adalah menerusi pemohon'.

Berbalik di Putrajaya, SPR sendiri hanya terdaya menggaru-garu kepala kerana bukan sahaja di Putrajaya, malah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, peratusan warganya yang mencapai usia layak 21 tahun tidak mendaftar juga tinggi.

"Susah hendak tukar budaya ini, agaknya masing-masing sibuk dengan urusan hidup dan tidak menganggap soal mendaftar ini penting.

"Meskipun pendaftaran pemilih dalam sebulan dua ini agak memberangsangkan, namun sasaran 200,000 orang sebulan masih belum tercapai, kalau dapat tiga suku atau setengah daripada itu pun, dah bersyukur," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof kepada Utusan Malaysia.

Mengetuai SPR hampir dua setengah tahun, Abd. Aziz barangkali boleh menarik nafas lega kerana rutin pengerusi sepertinya apabila berdepan dengan parti-parti pembangkang tidak lagi sama seperti mana ditempuh rakan-rakan sejawatannya sebelum ini. Kata-kata kesat, ungkapan nista 'anjing, tali barut kerajaan' tidak lagi kedengaran seperti mana dirasai oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Mungkin kerana kemenangan berpihak kepada pembangkang di lima negeri (sebelum Perak dikuasai kembali Kerajaan Pusat) termasuk penguasaan majoriti kerusi-kerusi Parlimen di ibu kota, kata-kata kesat itu semakin lama kian padam.

Dengan cabaran dan saingan sengit menemukan calon kerajaan dan pembangkang pada setiap PRK sehinggakan tidak ada pihak yang boleh mendabik dada 'pacak bendera pun sudah menang', demokrasi didakwa pula semakin subur oleh pembangkang. Cuma sejak kalah empat daripada lima kerusi dalam setahun ini, muncul pula tuduhan kononnya sistem demokrasi sedia ada berat sebelah.

Bagi SPR sendiri, badan itu menghadapi cabaran yang bukan sedikit. Dengan puluhan juta ringgit dihabiskan untuk menyediakan siri pengundian proses demokrasi yang subur ini, pegawainya turut dihambat dengan syor supaya jangan diadakan lagi pilihan raya kecil.

Kalau meninggal si penyandang kerusi, beri sahaja kerusi itu kepada wakil parti si mati tadi. Tetapi SPR ada perkiraan undang-undangnya. Itu tidak boleh dilakukan suruhanjaya tersebut di sebalik pernah dicap 'tali barut' kerajaan.

"Undang-undang negara berasaskan kepada 'first past the post' yakni parti itu diwakili oleh seorang calon dan calon itu diisytiharkan menang walaupun hanya satu undi majoriti," kata seorang pegawai undang-undang. Ironinya, Malaysia tidak seperti negara lain antaranya Indonesia yang menyaksikan parti yang bertanding, bukannya calon.

Umumnya, Malaysia masih dan tetap menjunjung paksi demokrasi. Dari carta statistik kaum yang tertera menunjukkan pendaftaran pengundi terus menjadi rujukan terpenting setiap parti-parti bertanding. Dari carta itu juga, sama ada boleh diterjemahkan di medan hari pengundian, realitinya masih boleh diperdebatkan. Meskipun pengundi Melayu bilangannya di depan dengan 51.65 peratus berbanding kaum-kaum lain, penentu kemenangan masih bersandarkan faktor lain - sikap individu, cauvinistik, cuaca, dakyah, fitnah dan isu global yang berlingkar.

Dengan barung (pondok panas) tetap didirikan di pagi pilihan raya, demokrasi masih dipertahankan dalam raut kecewa.

Yang pasti negara tetap menghadapi pilihan raya umum untuk mendapatkan semula mandat rakyat mentadbir kerajaan. Di Putrajaya, SPR menerima pendaftaran pemilih baru saban hari. Yang ketara peningkatan pengundi baru datangnya daripada inisiatif dan penat lelah penolong pendaftar sementara (PPS) yang dilantik dari kalangan parti-parti politik.

DAP setakat kelmarin mendahului parti-parti lain menerusi komitmen PPSnya. Kebanyakan pengundi baru adalah kaum Cina.

"Jika diperhatikan pendaftaran oleh parti politik ini, ia menjurus kepada kaum meskipun arahan SPR tidak sebegitu iaitu menyeluruh," kata Abd. Aziz.

Penulis,

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Terkini

Recent Posts Widget
malaysia flag photo: Malaysia thmalaysia.gif