Isnin, 31 Oktober 2011

Anda Blogger Pro Melayu Islam Atau Pro BN?


Susah untuk diperkatakan apa sebenarnya motif penubuhan blog oleh kebanyakkan blogger pro kerajaan di luar sana. Disebalik permulaan awal mahu mengimbangi keaktifan blogger pro pembangkang, blogger pro kerajaan kini semakin hilang konsistensi mahu memperjuangkan kebenaran malah terpengaruh dengan budaya blogger pembangkang. 

Pada awal penubuhan pengabungan blogger pro kerajaan yang dinamakan blogger pembela negara (BPN) oleh Panglima Perang Cyber, masing-masing berikrar untuk berjuang habis-habisan di alam maya bagi membetulkan fitnah-fitnah Malaysia Today, Milo Suam, Albanjari Online, Harakahdaily, Malaysiakini dan pelbagai lagi penyangak pakatan di arena maya. Perjuangan dilaung gemanya mahu didengar sehingga PRU ke 13. Namun, berapa lama sahaja sidang parlimen maya itu bertahan? Kini sudah terkubur jua. Blogger Panglima hanya jadi pemerhati dan BPN terus menyepi. 

Maka ramailah keluar mahu menumbuhan kumpulan sendiri malah ada juga yang mahu menyendiri berjuang tanpa ada sokongan seperjuangan.

Paling malang kini, kumpulan yang berpecah tadi kini bercakar sesama sendiri dan saling salah menyalahi sesama mereka walhal mereka sama-sama berpayung di bawah satu agenda yang sama. Apa kesudahannya dan apa pula kesannya?

Bagi Tamingsari, kita kena kembali kepada niat asal perjuangan. Seperti Tamingsari, bukan sahaja tidak pernah dibayar untuk menulis namun tidak ada sesiapa pun mengetahui siapa Tamingsari ini sebenarnya melainkan kenalan rapat sahaja.

Apa yang ditulis lahir dari sanubari sendiri dan bukan dipengaruhi orang politik. Maklumat dicari dan dikumpul sendiri dan jika ia benar-benar pasti kita olahkan di dalam blog. Jadi, apa perlunya kita berat sebelah kepada satu pihak? Apa yang benar kita tulislah walaupun pahit. Tidak kiralah samaaada kesalahan itu di pihak pembangkang atau kerajaan.

Apa yang menyedihkan, belumpun tiba PRU 13, sudah ada blogger yang menyerah kalah. Terus menerus bersunggut hiba konon hadirnya tidak dipuja. Apa kejadahnya semua ini? Apa pula kesannya Program Perhimpunan Penulis Maya yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini?

Kalau ada mana-mana blogger pro kerajaan yang bersunggut tidak dihargai, apalah sangat penghargaan yang mampu diberi.

Yakinlah apa yang kita perjuangkan itu benar dan berharaplah redho Allah di dalam setiap patah perkataan yang ditulis oleh kita itu. Jika kita hanya mengharapkan redho manusia, sampai bila pun kita tidak akan puas dan silap-silap kita akan terpesong dari niat asal perjuangan kita. Itulah punca blogger pro kerajaan kini dilihat semakin lemah.

Paling penting, kita wujud sebab kita sayangkan bangsa kita, kita kasihkan agama kita dan kita tidak mahu mana-mana pihak menganggu gugat itu semua. Sebaran fitnah perlu dihentikan dan kita blogger pejuang perlu fokus kepada perjuangan.

Kita yang memilih jalan ini dan kita terpilih untuk menyedarkan orang-orang Melayu Islam bahawa penyatuan sahaja boleh menyelamatkan masa depan mereka dikala orang lain semakin berani mencabar kewibawaan kita.

Persoalannya, bagaimana kita mahu mereka bersatu andai kita sendiri bercakaran. bagaimana kita mahu mereka percaya andai kita hilang kepercayaan antara kita.

Bagi Tamingsari, jika anda pilih untuk menjadi blogger BN, pasti anda tidak tahan lama, kerana BN adalah parti politik berkepentingan tetapi jika anda memilih menjadi blogger pejuang kepada Melayu Islam, anda pasti akan terus releven kerana Melayu dan Islam adalah kita dan kitalah yang wajib pertahankan haknya.

Jawablah sendiri kita semua kerana kita juga indikator penting bagi memelihara ketuanan Melayu dibumi tercinta ini.

Wallahhua'alam.

Penulis,

Khamis, 27 Oktober 2011

Audit 2010 Dikacamata Pemerhati Sosioekonomi


Pertemuan penulis dengan rakan-rakan terdiri golongan profesional muda pagi semalam lebih rancak daripada biasa. Topik yang paling hangat adalah mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang disifatkan memaparkan banyak lagi kelemahan pelaksanaan dan kecekapan jentera kerajaan.

Tahun demi tahun, laporan yang sama masih mengemukakan 'jumlah' kerugian yang luar biasa tinggi, disebabkan perbelanjaan sesetengah jabatan dan agensi kerajaan yang tidak berhemah dan berhati-hati.

Kalangan profesional muda pantas menggelengkan kepala, membayangkan betapa mudahnya proses pembelian dilaksanakan tanpa sebarang garis tentu perbelanjaan yang lebih berhemah.

Menurut seorang rakan yang bertugas di sebuah syarikat ternama, semua ini tidak dapat diterima oleh golongan muda yang pantas menyifatkan jentera kerajaan sememangnya gemar menghabiskan dana awam secara sesuka hati.

Suasana sama tidak akan dapat dilihat di sebuah organisasi yang mengamalkan prinsip perbelanjaan telus dan punya integriti yang tinggi. Memang benar, tidak semuanya dalam laporan audit yang baru dikeluarkan itu negatif.

Banyak juga perkara yang menunjukkan perubahan dan perkembangan positif. Perkembangan baik jangan pula kita sorok dan lupakan. Ia wajar dipuji dan diangkat sebagai perubahan yang mampu memberikan kekuatan kepada sistem pentadbiran awam.

Soalnya, apakah laporan ini akan diambil sebagai sesuatu yang serius dan menjadi penggalak perubahan pada sistem sedia ada? Laporan audit yang mendedahkan 'penyakit sama' tahun demi tahun, akan mendatangkan perspektif curiga yang semakin mendalam di kalangan minda rakyat.

Laporan sama yang turut mengemukakan petanda positif prestasi kewangan wajar dipuji. Sebanyak 17 kementerian berada pada tahap sangat baik berbanding 10 kementerian pada 2009, empat kementerian (2008) dan satu (2007).

Secara kasar, ini menunjukkan perubahan positif. Saat kepimpinan memperkatakan mengenai rentak transformasi dan perubahan, seluruh jentera kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu menyantuni laporan audit dengan lebih serius.

Memang benar, wujud kementerian yang mula memperkatakan mengenai 'belanjawan berimpak tinggi namun sejauh mana ia dilaksanakan dengan bersungguh adalah sesuatu yang berbeza. Laporan yang bersifat kewangan hanyalah satu segmen. Bagaimana dengan audit tentang kecekapan organisasi? Terdapat agensi yang melanggar piagam organisasi secara semborono. Tidak ada sebarang rasa bersalah dan semuanya akan 'berjalan seperti biasa' usai Laporan Ketua Audit Negara dilaksanakan.

Inilah sebenarnya yang boleh mendatangkan rasa kecewa di kalangan rakyat. Sementara rakyat diterap dengan semangat berbelanja secara berhemah, bersesuaian dengan suasana ekonomi yang menduga - sesetengah ketua jabatan/agensi mempunyai kuasa penuh untuk berbelanja dana awam dengan sesuka hati.

Apa rasional untuk melakukan tugasan yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sehari - namun dilaksanakan dalam tempoh 700 hari? Ia mengundang pelbagai persepsi negatif yang tidak membantu pembinaan imej dan wibawa jentera kerajaan. Lebih merosakkan, sekiranya tiada sebarang usaha dibuat untuk memberikan 'pengajaran setimpal' kepada yang terbukti gagal melaksanakan amanah dengan sebaiknya.

Semua ini akan hanya merencatkan niat 'transformasi' yang diperkatakan oleh kepimpinan. Malahan, dalam kes tertentu, ia bukan sahaja merencatkan - malahan sama sekali boleh diibaratkan sebagai suatu bentuk 'sabotaj' kepada niat perubahan yang diinginkan.

Kita harus sedar, banyak kelemahan pengurusan, baik kewangan mahupun khidmat - akan memberikan impak langsung kepada rakyat. Ambil sahaja contoh bagaimana anak-anak kecil Tabika Kemas yang sebenarnya tidak dihidangkan dengan menu yang digariskan oleh pihak kementerian. Apakah ini bukan suatu bentuk kecurangan pengurusan yang nyata? Apakah kita pernah terfikir bahawa amanah bagi menjaga generasi baru seperti itupun sanggup kita persiakan?

Jika kecurangan kewangan dan organisasi dibiarkan berterusan, adalah sesuatu yang tidak mustahil segala program transformasi yang diniatkan akan hanya menjadi hebat di atas kertas, sekali gus kurang memberi makna kepada rakyat. Ini adalah cabaran dan dugaan paling besar yang perlu dilaksanakan oleh kakitangan awam, tidak kira di peringkat mana sekalipun.

Laporan Ketua Audit Negara yang tidak mempunyai elemen 'mengenakan hukuman', kepada agensi dan jabatan berkenaan akan kekal menjadi laporan pasif dan menzahirkan simptom 'penyakit berulang'.

Tahun depan, tidak mustahil kita akan menerima lagi laporan sama, namun dalam amaun yang berbeza. Jabatan dan agensi yang merasakan ketiadaan sebarang tindak balas administratif mahupun denda, akan pantas melaksanakan program seperti biasa. Kesemuanya akan kembali kepada suasana asal.

Kelemahan-kelemahan yang dikemukakan oleh Laporan Ketua Audit Negara mesti diangkat sebagai dokumen khusus untuk memperbaiki amalan tadbir urus yang longgar di sesetengah agensi. Kalangan ketua jabatan/agensi yang gagal mengurus peruntukan dengan baik, perlu memberikan penjelasan yang tuntas atau berdepan dengan kemungkinan tindakan dikenakan. Sifat, selesa dan mudah puas hati inilah yang mendatangkan penyakit yang lebih besar di dalam sistem pentadbiran.

Banyak negara yang lebih maju sudah mula memperkenalkan sistem pentadbiran kewangan awam yang lebih baik dan berhemah. Di United Kingdom misalnya, komitmen ke arah pentadbiran kewangan berhemah dan bertanggungjawab dilaksanakan di bawah kempen menyeluruh Jabatan Perbendaharaan, 'Managing taxpayers money wisely: Commitment of Action'. Sedar bahawa suasana ekonomi dunia dan tekanan fiskal yang dihadapi oleh negara tersebut - tidak ada jalan singkat dan mudah, kecuali untuk membenihkan semangat berbelanja yang lebih berintegriti.

Malahan, kerajaan negara tersebut sudahpun mengumumkan inisiatif khusus Program Transformasi Kewangan di kalangan jabatan kerajaan. Semua ini dilakukan di atas niat yang luhur untuk mengurus dana awam dengan lebih berintegirti dan bertanggungjawab.

Penelitian umum kepada beberapa Laporan Ketua Audit Negara lain, turut mencatatkan banyak kelemahan. Kesempurnaan mungkin bukanlah sesuatu yang boleh kita harapkan melalui mana-mana laporan audit sekalipun, namun itu bukan alasan kita berbelanja secara sesuka hati.

Prinsip pertanggungjawaban tidak boleh diketepikan dalam pada kita mengejar kecekapan organisasi yang diinginkan. Namun, kesalahan-kesalahan yang dinyatakan tidaklah bersifat sangat 'asas' seperti yang berlaku di negara kita.

Rakyat mengharapkan sektor awam lebih mampu meresapi niat transformasi yang selalu diungkapkan oleh Perdana Menteri.

Laporan audit yang terus mencucuk rasional dan mengkompromi asas kebertanggungjawaban akan mengecewakan rakyat dan pembayar cukai. Suasana dan lanskap pentadbiran tidak boleh kekal berada dalam zon selesa - ketika mana negara berdepan dengan dugaan ekonomi yang semakin menyulitkan.

Kita pasti boleh menzahirkan pentadbiran kewangan yang lebih cekap, efisien dan wibawa; sekiranya semua penjawat awam menjiwai semangat belanjawan yang lebih hemah dan bertanggungjawab.

Majoriti rakyat amat mengharapkan agar Laporan Ketua Audit Negara 2011 akan menzahirkan elemen 'transformasi' pentadbiran kewangan di segenap kementerian dan agensi kerajaan.

Jika ini berlaku, rakyat akan pastinya melihat sektor awam dengan wajah yang lebih positif dan nilai wibawanya yang lebih tinggi.

Wallahhua'alam.

Penulis,

Selasa, 25 Oktober 2011

Murahnya Modal Nak Tarik Sokongan Melayu


Pemimpin bukan Melayu hanya perlu bermodalkan "Lebai" dan Senaskah Tafsir AlQuran serta Hadis untuk mendapat sokongan orang-orang Melayu. Apatidaknya, mereka selepas itu masuk ke perkampungan Melayu dengan berimejkan Melayu Islam, berlebai dan berbaju Melayu, berpidatolah dihadapan orang-orang Melayu, diselitlah pantun Melayu, diselit juga pribahasa Melayu dan paling "best" dibaca juga ayat AlQuran, menafsir ikut suka hati maka orang-orang Melayu pun tertambat dan terus menyokong pemimpin ini. Pakej lengkap, ada orang Melayu jahil berstongkol dengan mereka pula.

Walhal pemimpin Melayu terpaksa gadai hak-hak Melayu, gadai kuota bumiputra, gadai kuota biasiswa JPA, gadai kerusi pelajar Melayu MRSM, kuota bumiputra di universiti, kuota dalam pengambilan pejawat awam, dan pelbagai lagi kos lepas bernilai tinggi untuk mendapat sokongan kaum bukan Melayu. Itupun, khabarnya mereka masih belum berpuas hati. Bagaikan beri betis nak peha mereka merasakan selagi ada kelebihan kepada orang-orang Melayu, selagi itu mereka mahu menganggu.

Inilah bezanya jurang apa yang dimainkan DAP dengan apa yang dikorbankan UMNO selama ini.

Strategi politik DAP untuk memerangkap orang Melayu dengan modal "lebai" dan ayat AlQuran sudah lama dipraktikkan Lee Kuan Yew semasa berkempen di Singapura ketika mana Singapaura masih di dalam Malaysia. Berapa ramai orang Melayu yang ketika itu yang kurang pendidikan terpengaruh dengan lakonan Si Kuan Yew sehinggalah akhirnya Singapura dirampas dari orang-orang Melayu.

Sejarah biarkan ia terakam sebagai sejarah namun ia seharusnya dijadikan pengajaran kepada orang-orang Melayu itu sendiri. Ini kerana jika ia tidak dihayati maka rugilah kita ditipu dengan strategi yang sama walhal kita pernah ditipu sebelum ini. DAP sebagai parti yang berpaksi legasi Kuan Yew masih kekal melaksanakan strategi itu terutama di Perak dan P.Pinang. PRU12 adalah jawapan kepada hipotesis mereka melaksanakan strategi itu. Siapa yang akhirnya rugi? Orang Melayu itu sendiri.

Apa yang perlu dipegang sekarang, kita semua kena kembali kepada realiti. Kontrak sosial yang termenterai diantrara Tunku dan para pemimpin bukan Melayu perlu difahami dan dipatuhi kerana itu janji kita bersama. Mengapa kita perlu terpengaruh dengan janji DAP sedangkan parti itu tidak pernah berjasa kepada negara dan memartabatkan orang-orang Melayu di seantero dunia.

Orang bukan Melayu harus berterima kasih kepada PM yang juga seorang pemimpin parti Melayu kerana sudah terlalu banyak tolerasi yang berikan Melayu kepada kaum bukan Melayu. Seperti yang Tamingsari jelas diperenggan kedua diatas, jasa lain yang paling besar dikorbankan orang Melayu kepada kaum bukan Melayu adalah warganegara pada pasca kemerdekaan negara.

Hormatilah hak orang-orang Melayu, tolak DAP, negara pasti akan aman sejahtera.

Wallahhua'alam.

Penulis,

Isnin, 24 Oktober 2011

Aziz Bari Hanya Guna Status "Professor UIAM" Untuk Tunjuk Pandai!

Ceramah di pentas PAS, apa agaknya anggapan kita kepada si Aziz Bari ini?

UIAM masih punya timbang rasa, begitu juga dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan seterusnya Kerajaan BN. Itulah yang Tamingsari boleh simpulkan dengan tindakan UIAM mengantung tugas Aziz Bari. Apa yang dimaklumkan oleh Rektor UIAM, pengantungan itu bukan bermaksud dia tidak dibayar gaji tetapi gaji tetap jalan macam biasa.

Inilah hukuman terkini yang diberikan UIAM kepada seorang pejawat awam yang tidak sedar diri mempertikaikan kenyataan Sultan Selangor berkaitan pendirian Baginda menyokong JAIS menyerbu sebuah gereja di Selangor yang dipercayai cuba memurtadkan umat Islam. Bukti dan saksi memang ada dan ini menguatkan tindakan JAIS itu.

Pendirian kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR dan DAP lebih kepada mengutuk tindakan JAIS dan Aziz Bari yang terkenal sejak dari dulu penyokong tegar Pakatan Syaitan memang tidak dinafikan turut menyelar tindakan JAIS itu. Maka berdegar-degarlah dia bersama-sama penyokong kuat kerajaan termasuk Mantan PM Tun M, berbahas di dalam media termasuk dipaparkan di dalam portal tajaan Soros, Malaysiakini.

Persoalannya, apakah punca si Aziz Bari ini begitu yakin dengan pendiriannya?

Hubungannya bersama Anwar dan Ambiga tidak perlulah diperjelaskan disini tetapi statusnya sebagai seorang Profesor Madya dan pensyarah Undang-Undang disalah sebuah IPTA tempatan kerap kali menjadi alasan kata-katanya didengar juak-juak mereka.

Kononnya dia pakar di dalam undang-undang, setiap hujahnya kerap diselitkan kata-kata yang dia sudah mengkaji itu dan ini bertahun-tahun lamanya. Di pengakhir hujahnya setiap apa yang dilakukan oleh BN itu semua silap dan apa yang dilakukan Anwar semuanya betul. Almaklumlah, dia seorang Professor dari UIA dan pakar undang-undang. Bagi juak PR yang sedia bangang sememangnya mudah terpengaruh dengan kata-katanya tetapi bagi orang yang berfikir si Aziz ini jelas tidak profesional dan tidak berpaksi kepada kebenaran. Kenyataannya berat sebelah bagai ahli politik mahu melobi kerusi pilihanraya.

Jadi tindakan paling tepat, lucutkan terus jawatannya kerana alasan paling tepat dia mempertikaikan arahan Sultan dan ini melanggar etika seorang pejawat awam. Si Aziz Bari ini boleh berkerja dengan Anwar dan mengikut kemana-mana sahaja Anwar pergi kerana Anwar kaya. Masakan dia mampu membawa hanya pembancuh kopi kalau berjoli keluar negara.

Kalau dia tidak lagi bergelar professor, agak-agaknya masih lakukah kata-katanya?

Wallahhua'alam.

Penulis,

Litar Sepang Akhirnya Makan Orang!


Gempar seluruh Malaysia. Pak Cik di kampung yang baru selesai kutip susu getah pun berlari balik ke rumah apabila anaknya memberitahu ada penunggang mati akibat berlanggar di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Semuanya bagaikan tergamam kerana inilah pertama kali ada kematian di litar itu sepanjang ia dibuka sejak 1998.

GP Malaysia baru sahaja membuka tirai namun mungkin takdir sudah menetapkan kejohanan kali ini meninggal detik hitam kepada penganjur terutama kepada rakan pasukan San Carlo Honda Gresini. Marco Simoncelli yang dilihat girang pada awal perlumbaan tidak disangka hilang sekelip mata.

Kemalangan itu berlaku yang dipercayai berpunca daripada kegagalan Simoncelli mengawal jenteranya dan mengakibatkan dia hilang kawalan lalu terjatuh ke litar sebelum dirempuh oleh motosikal Edwards.

Lebih malang lagi topi keledar yang digunakan oleh Simoncelli, 24, pecah ekoran dilanggar oleh penunggang Ducati Team, Valentino Rossi dan insiden itu turut menyebabkan Edwards serta Rossi terbabas di kawasan rumput tepi litar.

Bagaimanapun Rossi berjaya mengawal motosikalnya manakala Edwards terjatuh di atas rumput dan mengalami kecederaan ringan.

Namun begitu, orang yang paling awal bingkas mempertahankan SIC apabila ada mulut-mulut lancang menyalahkan keadaan litar ialah  Pengerusi SIC, Datuk Mokhzani Tun Mahathir. Katanya, setiap kali perlumbaan SIC akan memastikan persedian dilakukan dengan rapi bagi memastikan keadaan litar dan juga kemudahan perubatan berada dalam keadaan terbaik.

Justeru, katanya, kemalangan maut yang menimpa pelumba pasukan San Carlo Honda Gresini, Marco Simoncelli merupakan satu insiden yang tidak dapat dielakkan dan ia boleh berlaku di mana-mana litar perlumbaan.

Wallahhua'alam.

Penulis,

Ahad, 23 Oktober 2011

DS Najib Terbaik!


Dato' Sri Najib Tun Razak adalah contoh pemimpin terbaik alaf ini yang nampak diraut wajahnya ikhlas untuk memperjuangkan nasib rakyat. Dikala suara-suara sumbang di dalam Barisan Nasional mempersoalkan kebolehannya untuk membaiki bahtera BN yang berlubang akibat kecuaian bekas nakhoda lama, Tun Abdullah, DS Najib tetap tabah dan cekal. Buktinya kini, semuanya semakin pulih.

Lihatlah kita dengan mata hati, bagaimana DS Najib menilai kelompangan yang masih ada ditinggalkan oleh Tun Mahadhir dalam misi mencapai wawasan 2020. DS Najib terus berani melangkah menutup lompang-lompang itu. Era Mahadhir tidak sehebat era Najib kerana era ini sering kali dirempuh globalisasi. Rakyat boleh berubah arah dalam tempoh beberapa saat sahaja kerana maklumat sentiasa dihujung jari. Apa yang perlu dijaganya kini hanyalah ketelusan. Ini lah yang sering kita dapat di dalam setiap dasar yang diumumkan DS Najib. Anda bayangkan di dalam Twiteer dan Facebooknya rakyat diajak berbincang mengenai dasar-dasar itu. Dari sekecil-kecil taraf boleh memberi pandangan tanpa segan silu.

Tamingsari sendiri amat berminat dengan cara politik anak Tun Abdul Razak ini. Dia suka mengamalkan konsep "bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian."

DS Najib bijak menilai situasi dan prestasi, kekuatan lawan dijamahnya dengan kelembutan. Kerakusan musuh disambutnya dengan ketenangan sehinggakan ramai yang tertanya-tanya DS Najib ini lenakah tidur malamnya?

Pada awalnya lagi dia sudah menerima tempias serangan lawan apabila difitnah ada kaitan dengan pembunuhan Altantuya. Serangan fitnah kepadanya terus bertali arus sehinggalah yang terbaru, dia dikatakan ada kaitan dengan kes liwat Anwar Ibrahim. Walaubagaimanapun, DS Najib terus tenang dan dihadapinya semua ini dengan penuh ketabahan.

Biarlah juak-juak Anwar terus menerus memfitnahnya, dia cekal dan terus berdiri teguh. Tamingsari sendiri pernah berkata kepada kawan-kawan seperjuangan, DS Najib ini, semakin ramai orang membencinya, semakin ramai yang menyayanginya. Semakin ramai yang mengejinya semakin ramai yang datang memuji dan memberi penghargaan kepadanya. Pembaca boleh menilai sendiri kata-kata ini. Kalau kita lihat dan fikirlah secara lojik, siapa yang dilihat lebih berkredibiliti dan berkeyakinan. Pada Anwar, jauh pangang dari api. Bercakap sahaja pandai, tetapi suka main belakang.  

Strategi politik seperti yang diamalkan DS Najib memang persis yang dilakukan bapanya. Disebabkan itu, setiap kali Anwar cuba memfitnah, semakin terserlah kebodohan dan kejelikan Anwar itu sendiri. Ketenangan yang ada pada wajah DS Najib menimbulkan rasa curiga rakyat kepada penipuan Anwar tambahan pula dilihat muka Anwar yang berkerut dan semakin hodoh itu.

Tamingsari sentiasa mendoakan supaya DS Najib terus menerus mendapat rahmat dari Allah dan diberi hidayah untuk terus memerintah dengan adil dan saksama disamping diberi ketabahan dalam menghadapi segala tomahan dan fitnah.

Wallahhua'alam.

Penulis,

Himpunan Sejuta Umat Islam Gagal?


Kira-Kira 10,000 umat Islam membanjiri Stadium Shah Alam di sini bagi menghadiri Perhimpunan Sejuta Umat: Selamatkan Akidah (Himpun) yang julung kali diadakan dengan masing-masing bertekad mempertahankan umat Islam daripada dipengaruhi oleh mana-mana kegiatan memurtadkan mereka.

Para peserta Himpun yang terdiri daripada lebih 1,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengenal fahaman politik atau aliran pemikiran menyimpul kukuh tekad tersebut dalam deklarasi yang mengandungi tuntutan 10 perkara.

Deklarasi yang dibacakan oleh Pengerusi Bersama Himpun, Mohd. Azmi Abdul Hamid di penghujung perhimpunan tersebut menyebut:

* "Bahawasanya, Islam adalah Risalah Ilahi yang dengan RahmatNya telah mengangkat bangsa Melayu dan semua bangsa yang lain dengan mesej 'rahmatan lil 'alamin'. Lantaran itu hanya dengan menghayati dan mengamalkan Islam sepenuhnya sahaja merupakan satu-satunya jalan untuk menjamin kemuliaan, keselamatan, kejayaan dan kehormatan bangsa Melayu mahupun mana-mana bangsa yang lain di negara ini.

* "Menginsafi bahawa asas pegangan umat Islam adalah akidah tauhid yang menjadi tunjang kepada seluruh pegangan hidup umat Islam dan prinsip ini tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak.

* "Bahawa kedudukan istimewa dan status khas agama Islam sebagai agama Persekutuan telah ditetapkan sejak dari kemerdekaan negara ini dan ia wajib dipertahankan oleh setiap warga Muslim dan dihormati oleh semua warga Malaysia.

* "Bahawa penyebaran agama lain daripada Islam kepada orang Islam dengan tujuan memurtadkan orang Islam adalah dilarang sama sekali berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Islam berpendirian tegas terhadap gejala murtad dan pemurtadan dianggap jenayah berat yang perlu diperangi habis-habisan.

* "Pelanggaran terhadap peruntukan ini boleh mengundang kepada tergugatnya keselamatan nasional dan mengundang ketegangan agama di negara ini.

* "Bahawa kami, pada hari ini, 24 Zulkaedah 1432H bersamaan 22 Oktober 2011 di Stadium Shah Alam di dalam Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (Himpun), bersepakat mengambil ketetapan untuk;

Pertama: Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-Raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.

Kedua: Kerajaan yang memerintah baik di peringkat Pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yang tertinggi dalam Islam dan Perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi dalam negara ini dihormati. Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina dan mencabar kedudukan Islam hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

Ketiga: Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hendaklah memastikan supaya undang-undang pencegahan yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam Perlembagaan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.

Keempat: Menuntut supaya kerajaan mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kelima: Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan akidah. Kami mengesa Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada akidah tauhid dan penerapan akidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

Keenam: Meminta kerajaan supaya mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.

Ketujuh: Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk menganggu-gugat kesucian Islam.

Kelapan: Menyeru semua institusi dalam masyarakat terutamanya ibu bapa mengambil tanggungjawab yang tegas dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman Islam yang syumul agar dapat membentengi anak dan waris terdekat daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan akidah.

Kesembilan: Menggesa kerajaan supaya memantau dan mengawal aktiviti pihak media sama ada cetak, elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut undang-undang yang ada.

Kesepuluh: Menyeru umat Islam yang hadir dalam perhimpunan ini mahupun yang tidak dapat hadir, melupakan segala perbezaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama-sama bersatu menyonsong tugas berat mempertahan dan menyelamatkan akidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Dalam pada itu, Azmi yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menepis tohmahan segelintir pihak yang awal-awal lagi memberikan gambaran buruk dan menanamkan kebencian terhadap usaha menganjurkan Himpun.

"Apa salahnya umat Islam berhimpun untuk membincangkan tentang agama Islam dan selamatkan akidah. Ketika mereka berhimpun mereka kata itu hak demokrasi tetapi bila kita berhimpun itu kata hendak bermusuh dengan mereka," katanya.

Tegas beliau, perhimpunan tersebut adalah untuk memastikan martabat Islam tidak diganggu-gugat dan ia bukan suatu perkara yang boleh dikompromi.


Tamingsari : Walaupun perhimpunan ini mensasarkan 1 juta umat berkumpul menyatakan sokongan kepada penentangan kepada usaha merosakkan akidah umat Islam, namun perhimpunan yang mengumpulkan seramai 10,000 orang itu sudah cukup mewakili 1 juta umat Islam itu. Ini menunjukkan ia berjaya dan membuktikan umat Islam di negara ini amat sensitif dan tersinggung dengan tindakan gereja di Selangor yang cuba memurtadkan orang Islam di negeri itu baru-baru ini.

Ucapan tahniah harus diberikan kepada Dr. Hassan Ali dari PAS yang tidak mahu berstongkol dengan kerajaan PKR Selangor yang menidakkan usaha JAIS menyerbu gereja tersebut. Walaupun Sultan Selangor menyatakan pendirian sealiran dengan JAIS, Kerajaan Selangor dibawah pimpinan PKR dan DAP dilihat angkuh menyatakan pendirian mereka menyalahkan JAIS.

Tamingsari amat yakin. Dengan bantuan media dan blog, rakyat Selangor sudah membuka mata seluaskan melihat siapakan sebenarkan Khalid Ibrahim dan kuncu-kuncunya. Pasti di PRU 13 nanti mereka ini bakal dibakulsampahkan rakyat.

Kejayaan himpunan sejuta umat membuktikan rakyat bersatu mahu menjatuhkan kerajaan Pakatan Syaitan dan suara yang sebenarnya bukan berunsur politik ini sudah mampu menjadi cermin ke arah itu.

Wallahhua'alam.

Penulis,

Khamis, 20 Oktober 2011

Blogger Pakatan Sediakan "Doa Bala" Buat UMNO

Inilah doa yang dipaparkan oleh Blogger Tulang Besi salah sebuah blog yang penuh dengan fitnah dan bodek kepada pemimpin hantu PR. Persoalannya wajar atau tidak doa tersebut dilafaskan dengan susunan ayat yang tidak bermoral? Wahai saudara Tulang Besi, Allah tidak akan menerima doa anda. Bertaubatlah anda.

Sebenarnya, mendoakan keburukan kepada orang lain adalah bertentangan dengan akhlak dan amalan yang dituntut oleh Islam iaitu berlawanan dengan saranan Islam iaitu sentiasa mendoakan kebaikan buat orang lain. Tak kira la sama ada orang itu berbuat kebaikan mahupun kejahatan buat kita, maka kita dianjurkan untuk sentiasa mendoakan kebaikan buat beliau. Paling tidak, doakan semoga beliau dikurniakan hidayah dan berubah menjadi baik.

Tetapi inilah bezanya ajaran Islam sebenar dengan ajaran munafik PAS yang mempergunakan agama kepada kepentingan politiknya. Mereka sering mengamalkan doa bala kepada parti politik yang tidak sebulu dengan mereka dan adakah sebuah parti yang kononnya memperjuang dan mengamalkan Islam sejahil ini tidak mengerti adab dan cara berdoa?

Namun begitu, Allah s.w.t. memberikan pengecualian bagi orang2 yang teraniaya atau merasakan teraniaya, untuk mendoakan keburukan buat seseorang yang menganiaya beliau. Ini berdasarkan dalil daripada al-Quran :

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang lain), kecuali oleh orang yang teraniaya. Dan ingatlah Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (an-Nisaa’: 148)

Pengecualian ini hanya tertakluk kepada orang yang teraniaya itu sahaja, dan bukannya kaki tumpang semangkuk (yang tolong sama mengutuk dan memaki, sedangkan mereka tidak berkaitan dengan isu tersebut). Ini kerana, ada kemungkinan seseorang itu berasa teraniaya, sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya. Sedangkan seseorang yang merasakan teraniaya itu mungkin tersilap, apatah lagi orang2 yang tak berkaitan. Tumpang semangkuk atas perkara yg silap dan khilaf.

Soal terinaya juga tidak timbul kepada rakyat Malaysia kini malah kerajaan BN sentiasa mendahulukan rakyat dan setiap janji akan dikotakan. Mereka yang sering menzalimi rakyat adalah pemimpin PR sendiri yang tidak bertangungjawab menguruskan negeri-negeri dibawah kuasa mereka terutama dari PAS yang gagal sama sekali memerintah Kelantan dengan adil, sejahtera dan bertangungjawab.

Islam mengajar, sungguhpun ianya dibenarkan (bagi yg teraniaya), namun bersabar itu sudah tentu lebih utama.. Bak kata seorang tokoh sufi :

“Jadilah seperti pohon yang berbuah lebat, dibaling dengan batu, tetapi dibalas dengan buah yang manis".

Wallahhua'alam.

Penulis,

Rabu, 19 Oktober 2011

Kelantan Terus Merana Dibawah Bajet Negeri 2012

Kerajaan PAS Kelantan hanya pandai berslogan, hakikatnya haprak.

Dengan peruntukan hasil yang hanya bernilai RM400 juta yang diumumkan Kerajaan PAS Kelantan semakin malap rasanya masa depan negeri itu untuk menikmati proses pembangunan menyeluruh. Dengan jumlah perbelanjaan sebegitu manalah mungkin ia mampu menjana pembangunan terperinci kepada negeri termiskin ini.

Perbelanjaan dijangkakan lebih RM500 juta pada tahun 2012 dimana defisit bakal mencatatkan peningkatan berbanding tahun hadapan. Perbelanjaan berbaki bakal ditampung dengan hutang.

Tamingsari memiliki maklumat ini dari akhbar Sinar Harian hari ini (19.10.11) di mana di dalamnya terpampang janji-janji manis kerajaan PAS Kelantan mahu mengagih-agihkan perbelanjaan tersebut walaupun hakikatnya ia tidak cukup dan tidak menyeluruh.  

Pada belanjawan 2011, begitulah mereka berjanji dan hakikatnya sudah hampir berakhirpun tahun 2011, masih tidak nampak, seriusnya kerajaan PAS Kelantan mahu membawa anjakan paradigma kepada arus pembangunan negeri itu.

Hakikatnya hari ini, mereka sibuk membawa projek-projek mee segera membaiki parit-parit dengan alasan mahu menghadapi banjir. Semakin dekat dengan pilihanraya barulah nampak Syarikat Air Kelantan menukar paip besar ditepi-tepi jalan. Mereka juga sibuk mengumumkan mahu membina sebuah stadium baru di Pasir Puteh dan lakaran juga sudah dibuat. PAS Kelantan dengan yakin, mereka akan mulakan projek itu pada bulan Mac 2012.

Kita sama-sama tunggulah, adakah benar ia akan direalisasikan atau hangat-hangat tahi ayam sehangat semangat rakyat Kelantan mahu menghadapi pilihanraya. Nik Ajis dan pasukan negerinya begitu cepat mengambil kesempatan untuk memberi kelebihan kepada mereka kerana mereka tahu dengan hanya bermodalkan Islam, mereka yakin, PAS akan terus dipilih di Kelantan. 

Apa yang pernah dan kerap berlaku, semasa menjelang pilihanraya, beginilah PAS Kelantan menjaja janji kepada rakyatnya yang dunggu itu dan apabila sudah menang mereka lupa serta terus membiarkan rakyat hidup menderita. Tangungjawab membangunkan negeri diserahkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan Pusat sehingga sekecil-kecil rumah PRT dan jalan kampung sehinggalah ke projek mega diserahkan kepada kerajaan Pusat. Apabila tiba pilihanraya pula, mereka kata kerajaan BN anaktirikan Kelantan. 

Rakyat Kelantan terus ditipu dan membiarkan diri mereka terus ditipu. 

Khabarnya PRU13, mereka juga terus mahu ditipu.  

Wallahhua'alam.

Penulis,

Selasa, 18 Oktober 2011

KRIM Hadiah Kerajaan Buat Rakyat Malaysia


Konsep Kedai Rakyat 1 Malaysia (KRIM) amat menarik. Disebalik ramai pihak memikirkan bagaimana agaknya kerajaan mampu masuk dalam arena peruncitan barangan keperluan demi memberi keseimbangan harga kepada barangan tersebut, akhirnya jelmaan idea ini menjawab segalanya. Paling menarik, harga yang ditawarkan di kedai ilham kerajaan BN ini, lebih murah dari mana-mana kedai runcit di Malaysia.

Inilah kelebihan yang ada pada KRIM membolehkan kerajaan tidak lagi bergantung kepada pasaraya ternama bagi mengimbangi harga barang keperluan. Kebergantungan kepada mereka hanya mengundang kesan lebih teruk kerana setiap syarikat pastinya mementingkan keuntungan semata.

Kehadiran KRIM sekurang-kurangnya dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana di bandar membeli barang keperluan pada harga yang murah. KRIM kini sudah popular dan ia juga bakal diperluaskan ke seluruh negara.

KRIM sekarang ini diuruskan oleh Pasaraya MyDIN dimana segala overhead, tenaga kerja dan produk KRIM ditanggung oleh MyDIN.  MyDIN terkenal sebagai syarikat peruncitan bumiputera yang kukuh dan memiliki modal yang besar. Promosi dan penjenamaan KRIM pula perlu mengikut spek yang dikeluarkan oleh kerajaan. Segala guideline dan 'sop" perlu mengikut apa yang diaturkan kerajaan demi memastikan program ini mencapai matlamat.   

Jadi, apa yang dilakukan MyDIN amat sukar dilakukan oleh pasaraya lain kerana ia melibatkan modal pusingan yang besar. Tamingsari agak terkejut dengan laporan TV3 baru-baru ini berkaitan Menteri KPDNKK telah membuka pemilikan PRIMA kepada semua pihak yang berkelayakan. Kononnya ia bagi mengelak sentimen monopoli sekiranya hanya MyDIN sahaja yang terlibat sebagai pelaksana.

Bagi Tamingsari, kerajaan perlu teguh kepada pendirian dan objektif KRIM. Soal monopoli tidak akan wujud kerana matlamat KRIM bukan menyasarkan kepada usahawan tetapi penguna.

MyDIN mungkin ada modal dan pengalaman untuk mengurus dan melaksanakan KRIM tetapi belum tentu kepada orang lain yang tidak diketahui latarbelakangnya. Jenama KRIM bakal tercalar jika orang yang menguruskannya tidak mampu mengadaptasi apa yang dikehendaki oleh KRIM. Matlamat entah kemana dan ia bakal merugikan penguna pula.

Jika MyDIN boleh konsisten di dalam perlaksanaan KRIM, Tamingsari mohon, biar MyDIN sahaja mengerak KRIM ini dengan seliaan dari KPDNKK.

Wallahhua'alam.

Penulis,

Ambillah UUM, Kedah dan Kelantan Sebagai Iktibar Kerakusan PAS


Penysarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani telah menegaskan bahawa Terengganu akan rugi jika pilih PAS ini berikutan pengalaman UUM sendiri yang terkesan dengan pemerintahan PAS di Kedah yang suka berjanji manis kepada rakyat tetapi menekan pihak lain pula.

Sila baca di sini mengenai luahan beliau.

Bagi Taming Sari apa yang diutarakan oleh pensyarah dari IPT di utara itu memang tepat dan seharusnya pengalaman Kedah perlu dijadikan teladan.

Terengganu juga sepatutnya mengambil iktibar atas nasib rakyat Kelantan yang lebih 20 tahun diperbodohkan oleh PAS. Perkara ini tidak perlu disanggah oleh orang-orang luar kerana mereka tidak tahu apa yang berlaku di Kelantan.

PAS Kelantan sibuk menjaja di merata negeri mengatakan Kerajaan Persekutuan (BN) telah menganaktirikan Kelantan walaupun fitnah itu tidak benar kerana Kelantan antara negeri yang menerima peruntukan tertinggi di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan. Mereka kata BN kejam kerana tidak membayar royalti sedangkan apa yang ditakutkan BN, jika ia disalurkan melalui PAS Kelantan, mereka akan mengelapkan duit itu. Kerisauan ini adalah berasas berdasarkan habis segala peruntutkan negeri yang terhasil dari hasil balak dan ladang rakyat jarang sekali dijelmakan untuk pembangunan negeri Kelantan. PAS hanya mengharapkan Kerajaan Pusat membangunkan negeri itu.

Lihatlah perlbagai masalah yang dipaparkan di media massa terutama isu air di Kelantan yang tidak berkesudahan. Jadi Tamingsari menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama di Kelantan, Kedah, Perak dan Terengganu WAJIB untuk tolak sebuah parti munafik yang berselindung dengan wajah Islam sedangkan di dalam mereka penuh dengan kerosakan dan mazmumah.

Janganlah kita gadaikan masa depan kepada orang yang hanya tahu bermadah tetapi suka berhelah.

Wallahhua'alam.

Penulis,
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Terkini

Recent Posts Widget
malaysia flag photo: Malaysia thmalaysia.gif